suria

MCMC dapat penghakiman ingkar, pentadbir Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas diperintah padam secara kekal kandungan palsu

Penghakiman ingkar terhadap pentadbir Edisi Siasat dan Edisi Khas dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat membenarkan Penghakiman Ingkar Pembelaan terhadap pentadbir dua saluran Telegram terkenal iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas berhubung penyebaran serta penerbitan 33 artikel yang memudaratkan.

Ia selepas mereka gagal memasukkan kehadiran serta pembelaan terhadap tindakan guaman difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Melalui keputusan tersebut mahkamah mengeluarkan beberapa perintah penting.

Ia termasuk deklarasi bahawa pentadbir kedua-dua saluran itu membenarkan kandungan memudaratkan diterbitkan dan diedarkan; melibatkan institusi awam dan pegawai awam yang menjadi pihak terkilan.

Mahkamah turut memberikan injunksi mandatori yang mengarahkan pentadbir menurunkan serta-merta dan secara kekal semua kandungan bersifat palsu, mengancam atau memudaratkan yang pernah diterbitkan melalui saluran tersebut.

Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan injunksi larangan yang menghalang pentadbir, ejen, pekerja atau mana-mana sekutu mereka daripada menerbitkan semula kandungan yang sama.

Serta larangan menerbitkan kandungan baharu yang mempunyai unsur memudaratkan reputasi dan keselamatan awam.

Dalam masa sama, mahkamah memerintahkan supaya taksiran ganti rugi merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teladan dibuat pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sementara itu MCMC dalam kenyataan berkata, keputusan itu menunjukkan kebebasan bersuara di platform digital tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan fitnah, ugutan, pemerasan atau penyebaran maklumat palsu.

Jelasnya, perbuatan tersebut boleh menjejaskan reputasi individu dan keharmonian masyarakat.

Artikel Lain