suria

Lelaki dakwa jadi ‘suami kedua’ janda anak 2, sempat kena ‘paw’ beli Axia! Patutlah nak PJJ sepanjang perkahwinan

Gambar yang dikongsikan oleh 'suami kedua' yang mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang wanita. -Foto TikTok

LAZIMNYA kita membaca perkongsian kisah wanita yang dimadukan suami secara senyap-senyap.

Namun berlainan pula kisah ini yang tular di laman sosial sejak Rabu, apabila seorang lelaki mendakwa dirinya 'dimadukan' sekali gus menjadi mangsa penipuan oleh satu pasangan.

Menerusi perkongsian di laman TikTok, lelaki dikenali sebagai Syed itu mendakwa segala-galanya bermula selepas dia berkenalan dengan seorang wanita menerusi satu grup Facebook yang mengakui dirinya ibu tunggal kepada dua cahaya mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu 7 anak bawa 'penyondol' hamil zuriat suami pergi 'check-up', siap tidur sekatil... Akhirnya diterajang sebelum diceraikan

"Saya berkenalan dengannya sewaktu join grup kereta Axia. Hubungan kami makin serius sehingga satu hari dia mengaku telah hamil dan meminta saya bertanggungjawab.

"Menurutnya, anak di dalam kandungan adalah anak saya. Disebabkan perasaan takut dan ingin bertanggungjawab, saya pun setuju berkahwin dengannya tanpa rasa was-was," tulisnya.

Menurut Syed, mereka berkahwin di Thailand sebagaimana permintaan wanita itu, tanpa mengetahui dirinya rupa-rupanya bergelar 'suami kedua'.

Perkahwinan secara rahsia dipercayai pada 2024 itu akhirnya terbongkar dan diketahui keluarga masing-masing selepas beberapa bulan.

Bagaimanapun, kehidupan berumah tangga tetap diteruskan seperti biasa cuma mereka terpaksa menjalani hubungan jarak jauh (PJJ) dengan Syed tinggal di Padang Serai dan isterinya di Jitra, Kedah.

  • Seorang lelaki bernama Syed dakwa menjadi mangsa penipuan selepas berkahwin dengan seorang wanita yang disangka ibu tunggal.

  • Syed berkenalan dengan wanita itu di grup Axia di Facebook  dan berkahwin di Thailand selepas wanita itu mendakwa hamil anaknya.

  • Selepas kahwin, Syed mendapati wanita itu rupa-rupanya mempunyai suami dan mempunyai rekod polis kerana kes penipuan.

  • Syed mengaku menanggung semua perbelanjaan isteri termasuk duit bulanan, susu dan lampin anak, walaupun sering diberi alasan pelik.

  • Kes itu menjadi tular dan makin hangat apabila seorang lelaki lain tampil mengaku sebagai suami pertama dan menafikan tuduhan Syed.

"Dia (isteri) memberi alasan terpaksa menjaga ibunya yang sakit dan tidak sanggup berjauhan dengan ibunya. Saya juga tidak dibenarkan ke rumah ibunya dengan alasan ada kakak iparnya yang gila tinggal di situ.

"Kami sewa homestay saja untuk bertemu. Pada 28 Februari lalu, dia melahirkan anak saya di hospital swasta. Semua urusan dibuat di hospital swasta atas alasan anak tersebut anak luar taraf," dakwanya.

Syed mendedahkan pelbagai lagi insiden dan situasi 'tidak masuk akal' berlaku sepanjang perkahwinannya termasuk keengganan isteri untuk tinggal sebumbung, namun menurut lelaki tersebut, dia ibarat lembu dicucuk hidung dan menerima apa sahaja yang diberitahu wanita itu.

Malah, dia juga menuruti permintaan wanita berkenaan agar membeli sebuah kereta Axia bagi memudahkan pergerakan.

"Semua tanggungjawab saya jalankan dengan beri duit bulanan, duit susu, duit lampin pakai buang," kongsinya.

Syed mendakwa dia membelikan sebuah kereta Axia sebagaimana permintaan wanita tersebut.

Namun ujar Syed, ahli keluarganya mulai curiga selepas menghidu ada perkara yang tidak kena dalam hubungan mereka.

'Siasatan' yang dibuat oleh ahli keluarga membawa kepada terbongkarnya identiti sebenar wanita itu yang rupa-rupanya bergelar isteri orang dan mempunyai rekod polis kerana aktif melakukan penipuan. 

Syed berkata dia sudah membuat laporan polis dan pejabat agama, yang kemudian mengesahkan perkahwinannya tidak sah dan terbubar.

Bagaimanapun selepas perkongsian dibuat oleh Syed tular, seorang individu yang mengakui dirinya sebagai 'suami pertama' kepada wanita berkenaan tampil menangkis dakwaan tersebut.

Lelaki berkenaan mendakwa rumah tangganya bersama wanita tersebut sudah berakhir sebelum dia berkahwin kali kedua dengan Syed.

"Selepas berpisah, mereka telah kahwin di Thailand. Syed fitnah mengatakan saya palsukan sijil cerai.

"Jika tak puas hati, sila contact saya, kita pergi pejabat agama untuk check atau balai polis buat report jika dokumen itu palsu," kongsinya yang turut memuat naik dokumen penceraiannya sebagai bukti.

Bagaimanapun sehingga kini tiada kenyataan balas dibuat daripada Syed mahupun wanita itu sendiri. 

Artikel Lain