KEDIAMAN seorang usahawan yang juga pempengaruh dipecah masuk dalam kejadian pada awal pagi Ahad, mengakibatkan kerugian bernilai hampir RM500,000.
Ketika dihubungi mStar, usahawan produk kecantikan yang hanya mahu dikenali sebagai Nanad berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 1.56 pagi ketika dia dan suaminya tiada di rumah.
"Saya dan suami keluar pukul 10 malam. Kejadian dipercayai berlaku sekitar hampir 2 pagi jika lihat pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Apabila pulang, kami sedar rumah dipecah masuk kerana penyamun tu kopak sliding door. Suami naik atas, mengucap dia bila dapati barang berharga hilang termasuk jam tangannya dan barang kemas saya yang dianggarkan bernilai RM300,000.
"Tapi rumah saya tak diselongkar, dia ambil barang-barang berharga yang dia dah sasarkan sahaja," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Laki bini ditahan kes pecah rumah... Dewan pun jadi sasaran
Menurut Nanad, selain barang kemas dan jam tangan, antara barang lain yang dicuri adalah kamera, sebuah motosikal RXZ, sebuah motosikal Yamaha LC V8, empat buah topi keledar Arai dan cermin mata.
Usahawan tersebut berkata, dia baru sahaja berpindah ke kediamannya yang terletak di Semenyih, Selangor itu sambil menambah, ia adalah kawasan perumahan yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat.
"Kawasan perumahan saya guarded, bukan senang-senang nak masuk. Saya syak kenalan terdekat yang pernah datang ke rumah. Sebab hanya yang rapat saja tahu alamat rumah saya," katanya lagi.
Tambah Nanad, dia dan suaminya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
"Terima kasih kepada kenalan dan pengikut yang bagi kata-kata semangat. Minta doakan agar barang yang dicuri ditemukan semula kerana saya cari rezeki yang halal," akhirinya.
Dalam pada itu, penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice, turut memuat naik video mengenai kes pecah rumah usahawan berkenaan di laman Instagram bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan.


