SEORANG pekerja penghantar barang meluahkan rasa terkilan apabila terpaksa mengangkat barang seberat 60 kilogram (kg) untuk dihantar ke sebuah unit flat di tingkat dua.
Menurutnya, pesanan yang terlalu berat bukan sahaja membebankan, malah membahayakan keselamatan dirinya.
"Nak order barang, kasi berakal sikit. Kesian dekat rider nak angkat berat 60kg.
"Nak hantar ke rumah flat tingkat dua memang boleh bengkok kalau angkat seorang,” katanya.
Dia turut memaklumkan perumahan tersebut tiada kemudahan lif.
Berdasarkan perkongsian di TikTok [Tonton Video], penghantar barang itu terpaksa mengangkat barang pelanggan bersaiz panjang bersama seorang lagi rakan.
Jelasnya lagi, komisen yang diterima juga tidak sepadan dengan usaha dan keringatnya.
“Komisen satu order macam ni cuma RM5. Dah dua orang angkat, bahagi dua la," katanya.
Dia turut meminta pelanggan meletakkan diri di tempat rider sebelum membuat pesanan sebegitu.
“Cuba letak diri dekat tempat saya. Sanggup ke angkat seorang beban tu? Saya pun manusia, bukan robot," katanya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan ada yang mencemuhnya kerana malas belajar dan layak mendapat pekerjaan seperti itu.
Namun, penghantar barangan itu menafikan dirinya adalah pemalas.
"Nak saya tampal ijazah dekat dahi kau baru nampak rajin ke? Kalau tak kerja, tak ada duit. Begitulah kehidupan," balasnya.
Ada juga sebahagian lagi bersimpati dengan nasib penghantar sepertinya dan berhasrat akan memberi tip tambahan jika ada membuat pesanan barang yang berat.
"Kalau saya beli barang besar, sampai je rider memang saya hulur sikit duit tip.
"Ada rezeki lebih saya memang bagi tip, kesian juga tengok mereka mengah-mengah naik tangga hantar barang," katanya.


