suria

Qishi, suami terbabit kemalangan… Mercedes beli tak sampai sebulan ‘total loss’ - “Kenapa ada manusia penting diri?”

Keadaan Qishi selepas terbabit dalam kemalangan pada awal pagi Sabtu.

PEMPENGARUH dikenali sebagai Qishi berkongsi detik cemas apabila dia dan suami terlibat dalam kemalangan pada awal pagi Sabtu, menyebabkan kereta jenis Mercedes-AMG C63 yang baru sebulan dibeli rosak sepenuhnya.

Menurut Qishi, kejadian berlaku sekitar pukul 4 pagi, dipercayai akibat tindakan seorang pemandu muda yang memandu laju dan cuai di lorong kanan.

Dia memaklumkan ketika itu mereka dalam perjalanan dari Genting Higlands, Pahang menuju ke hospital swasta di Puchong, Selangor.

"Danial (suami) memandu dalam 70 hingga 80km/j, kemudian kereta tu pandu laju dalam 170km/j jadi Danial nampak dan terus bagi signal nak masuk kiri sebab nak bagi laluan.

"Tiba-tiba, kereta tu menghala ke kiri juga, hilang kawalan langgar pembahagi jalan dan terus menghentam bahagian belakang kereta kami.

"Saya tengah 50-50 sedar sebab baru terjaga tidur, tahu-tahu kereta berpusing dan terhentak kuat sangat sakit Ya Allah," kongsinya di Threads.

Akibatnya, Qishi mengalami kecederaan pada tulang belakang, dada, muka dan leher, manakala suaminya mengalami lebam di lengan dan kaki.

Mereka juga terpaksa menunggu dua jam untuk ambulans tiba dengan Qishi terbaring di atas tumpahan minyak hitam yang mengalir dari kenderaan.

"Kenapa ada manusia yang penting diri bawa kereta macam ni? Kalau kena sendiri tak apa, ni babit orang lain.

"Saya anggap ini ujian Allah nak bagi, mungkin saya dan Danial ada kekurangan dalam sesuatu, dan mungkin Allah nak uji sama ada kami kuat atau tidak," katanya.

Qishi mengakui terkilan kerana kereta itu baru sahaja dibeli dan dalam masa sama bersyukur sempat membeli insurans dan membayar cukai jalan beberapa hari sebelum kejadian.

Artikel Lain