BERANG dengan dakwaan makanan yang dimasak tidak enak, seorang tukang masak wanita akhirnya maut ditikam dalam kejadian di sebuah restoran berkonsep Thai di Lorong Bukit Juru, Pulau Pinang, Rabu malam.
Mangsa yang dianggarkan berusia 40an dilapor meninggal dunia di lokasi sekitar pukul 9 malam, sementara suaminya serta seorang rakan suspek mengalami kecederaan akibat ditikam.
Memetik laporan Berita Harian, sekumpulan pelanggan lelaki termasuk suspek dikatakan tiba di premis sekitar 8.30 malam dipercayai dalam keadaan mabuk.
Mereka kemudian tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan sehingga mencetuskan pertengkaran dengan mangsa serta suaminya.
Mangsa, warga Myanmar dipercayai mengarahkan kumpulan itu meninggalkan restoran, namun salah seorang lelaki lingkungan umur 30an didakwa menghubungi abangnya sebelum kembali semula ke lokasi dan menikam mangsa menggunakan pisau.
Tindakan pantas pihak polis membawa kepada penahanan dua beradik itu, masing-masing berusia lewat 30an, di kawasan berhampiran tidak lama selepas kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi mangsa dirawat di hospital sama.
Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail, suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


