PERKONGSIAN seorang wanita tentang nasib bayi berusia enam bulan yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu dan dan bapanya meninggal dunia akibat kemalangan mengundang sebak ramai.
Dikenali sebagai Hazira, dia meluahkan rasa pilu mengenangkan pemergian sahabat, Nur Fatihah Othman, 28 dan suaminya, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24 sambil menitipkan doa agar kedua-duanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
"Salam takziah buat kawan saya. Sedihnya harini (Ahad). Al-fatihah buat Tehaa (Nur Fatihah) dan suami. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
"Buat anaknya, semoga Laylaa kuat. Semua sayang Layla tau," tulis Hazira dalam hantaran di Threads.

Kemalangan pada Ahad itu melibatkan tiga buah kenderaan.
Untuk rekod, pasangan suami isteri itu maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bersama seorang anak terlibat dalam nahas tiga kenderaan di kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi pada Ahad.
Anak mereka, Nur Laylaa Batrysha yang duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu membabitkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Vios dan lori.
Sementara itu seorang lagi pengguna Thread yang mendakwa sebagai keluarga terdekat mangsa memaklumkan pada hari sama sepatutnya diadakan majlis cukur jambul Nur Laylaa Batrysha.
"Arwah mummy bayi ni sepupu rapat suami saya sejak kecil. Semalam (Ahad) sepatutnya majlis cukur jambul bayi ni.
"Kita semua tunggu dia tapi tak sampai-sampai. Dapat tahu dia kemalangan," katanya.


