SEORANG lelaki yang hampir lima tahun bekerja sebagai rider berkongsi tentang perjalanan hidupnya yang penuh penyesalan namun tetap bersemangat memperbaiki diri.
Perkongsian itu dibuat menerusi grup Facebook Lalamove Riders Community Malaysia, namun luahan jujurnya cukup menyentuh hati warganet.
"Dari Foodpanda pergi ke GrabFood dan yang terakhir buat Lalamove. Hampir lima tahun buat kerja macam ni.
"Itulah dulu tak nak belajar elok-elok. Masa ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidur. Nak menyesal pun tak guna sebab sendiri pilih jalan macam ni," tulisnya.
Dalam hantaran sama, lelaki ini turut berharap urusannya dipermudahkan apabila dia nekad menduduki semula peperiksaan SPM untuk menebus semula kesilapan lalu sewaktu bergelar pelajar.
"Apa-apa pun bulan ni (November) saya ada repeat SPM. Harap peluang kedua ini digunakan sebaik mungkin.
"Semoga dipermudahkan urusan diri sendiri, Amin. Doakan saya juga ya kawan-kawan," katanya lagi.
Perkongsian tersebut segera dihujani komen-komen positif dan kata-kata semangat daripada netizen yang kagum dengan semangat serta usahanya.
"Baguslah bang, dah ada perasaan macam tu. Semoga abang terus maju jaya.
"Ambil je SPM tu bang. Ada gunanya tu nanti. Tak untuk kerja pun, untuk ilmu sedikit bekalan dekat kubur (akhirat).
"Dik, ada rasa untuk tingkatkan kualiti hidup adik tu pun dah buat adik jadi seorang yang berjaya. Saya doakan yang baik-baik untuk adik," komen beberapa netizen.
Bagaimanapun, tidak kurang juga netizen yang mengingatkannya bahawa setiap pekerjaan ada rezeki dan nilai tersendiri.
"Kalau semua kerja bagus-bagus siapa nak jadi rider pula. Rezeki masing-masing bang. Kita patut bersyukur Allah bagi sihat boleh fikir macam mana nak cari duit lagi. Tu lagi penting, bagi akulah.
"Betul, tahap pendidikan bukan segala-galanya. Tapi andai insan nak ulang kertas SPM pun tiada masalah. Dia tahu apa yang dia nak dalam hidup. Rezeki, jalan hidup setiap orang tak sama.
"Steady bang. SPM hanya sekeping kertas. Ramai je yang belajar tinggi-tinggi, akhirnya kerja lain daripada jurusan diambil. Yang penting solat jangan tinggal.
"Saya dulu pernah jadi cikgu tarian, sekarang berniaga sendiri dan buat kerja sambilan servis Lalamove. Semoga berjaya," komen beberapa netizen lagi.


