PEKERJA p-hailing yang tular gara-gara 'kantoi' mencuri makanan pelanggan sambil memakai jersi tertera namanya sendiri akhirnya tampil mengakui kesalahannya.Sedar akan perbuatannya, rider berkenaan bertemu dengan mangsa untuk memohon maaf secara bersemuka pada Isnin. Menurut pelanggan berkenaan, Jeffry Aizad Syah Karim, lelaki terbabit datang ke rumahnya untuk memohon maaf selepas menerima kecaman hebat daripada netizen.Malah, penghantar makanan itu turut mengganti semula ayam goreng yang diambil walaupun Jeffry memaklumkan bahawa pihak syarikat p-hailing sudah membuat bayaran balik terhadap pesanan yang dicuri."Dia menyesal dan minta maaf. Katanya dia lapar sangat dan teragak-agak juga nak curi. "Jadi saya dan isteri maafkan dia sebab lelaki tu dah menyesal dengan perbuatan dia," katanya kepada mStar.ARTIKEL BERKAITAN: Silap besar! Identiti penghantar makanan didakwa curi pesanan pelanggan terdedah gara-gara pakai jersi nama sendiriMenurut Jeffry, rider terbabit mengakui tertekan selepas akaun Threads miliknya diserbu netizen termasuk komen pada hantaran isterinya."Video dia yang viral lebih sejuta tontonan kat semua platform media sosial saya dah tarik balik," katanya.Jeffry berharap insiden berkenaan dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada rider terbabit, malah orang ramai secara umum supaya tidak mengulangi kesilapan sama."Ingatlah kalau dah viral bukan sendiri saja yang malu, isteri, mak ayah, saudara-mara semua malu."Kalau betul lapar tiada duit nak makan boleh je cakap elok-elok, rakyat Malaysia ni pemurah boleh je tolong," katanya.Dia juga memohon maaf kepada lelaki tersebut kerana terlalu beremosi dalam kejadian berkenaan."Saya pun minta maaf kat rider tu kalau melebih-lebih. Hati siapa yang tak panas apabila makanan untuk keluarga kena curi depan mata."Manusia semua buat silap, menyesal dan minta maaf tu lebih bagus," katanya.Dalam kejadian pada Ahad, seorang pekerja penghantar p-hailing didakwa mencuri makanan ketika membuat penghantaran di Sungai Besi, Kuala Lumpur.Tindakan pekerja p-hailing itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediaman berkenaan.Berdasarkan rakaman CCTV, lelaki tersebut meletakkan tiga bungkusan makanan dan mengambil gambar pesanan sebelum mencuri salah satu daripadanya.Jeffry mendakwa dia berjaya menjejaki akaun Facebook dipercayai milik pekerja tersebut berdasarkan nama yang tertera pada jersi bola sepak Pulau Pinang yang dipakai individu itu.