Identiti pekerja p-hailing yang didakwa mencuri makanan ini terdedah gara-gara nama yang tertera pada jersi dipakainya.
SEORANG pengumpul jersi berang selepas makanan yang dipesannya didakwa dicuri oleh seorang pekerja penghantar p-hailing ketika membuat penghantaran ke rumahnya di Sungai Besi, Kuala Lumpur.Menurut Jeffry Aizad Syah Karim, dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila mendapati hanya dua bungkusan yang diterima, sedangkan dia memesan tiga bungkus makanan pada Ahad lalu. “Kurang ajar punya rider makan benda haram. Order tiga bungkus, rembat sebungkus.“Lepas tu aku call tak mahu angkat. Rider memang biasa buat kerja haram ni ke?” katanya.Tindakan pekerja p-hailing itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediamannya.Berdasarkan rakaman CCTV, lelaki tersebut meletakkan tiga bungkusan makanan dan mengambil gambar pesanan sebelum mencuri salah satu daripadanya.Jeffry mendakwa dia berjaya menjejaki akaun Facebook dipercayai milik pekerja tersebut berdasarkan nama yang tertera pada jersi bola sepak Pulau Pinang yang dipakai individu itu.Malah, dia turut mendakwa individu tersebut memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang perbankan Islam di sebuah institusi pengajian tinggi."Aku dah jumpa Facebook budak ni. Nama pun sangat sama dengan ID p-Hailing. Nameset belakang jersi dia tu pun sama dengan akaun Facebook tu," katanya.Jeffry ketika dihubungi mStar mengesahkan dia telah membuat laporan berhubung kejadian berkenaan kepada syarikat p-hailing berkaitan untuk tindakan lanjut.