suria

Tokoh kewangan Islam mengaku tidak bersalah pecah amanah RM10.55 juta

Mohd Daud ketika tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

 

TOKOH kewangan Islam dan seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan RM10.55 juta.

Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, 62 dan Datuk Norliza Tajudin, 54, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd yang diamanahkan wang pelaburan milik beberapa individu serta syarikat.

Antara pihak terlibat ialah Moideen Kunjayu, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad dan Myad Kapital Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 22 Jun 2021 hingga 12 Mei 2024 di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Taman Setiawangsa dan RHB Islamic Bank Berhad, Cawangan Bangsar Shopping Centre, Jalan Maarof, Bangsar.

Mereka didakwa dengan niat bersama, melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan secara tidak jujur iaitu menggunakan harta terbabit dengan melanggar kontrak nyata.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Pasport tertuduh juga diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain larangan menggangu saksi pendakwaan.

Mohd Daud turut diperintahkan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Mahkamah menetapkan satu tarikh lain untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Artikel Lain