suria

“Awak tetap dalam hati acik” - Bapa meradang pemandu van umur 68 tahun hantar ‘surat cinta’ kepada anak perempuan darjah enam!

Surat luahan pemandu van sekolah kepada seorang kanak-kanak. - Gambar hiasan (kiri)

SEORANG bapa kini diselubungi kebimbangan selepas anak perempuannya yang berusia 12 tahun menerima surat luahan perasaan daripada seorang pemandu van sekolah berusia 68 tahun.

Bukan sekadar surat, malah kanak-kanak itu turut dihujani pelbagai kata-kata yang membuatkan dia berasa sangat takut dan trauma setiap kali terserempak dengan lelaki warga emas tersebut.

“Apa pendapat anda semua kalau pemandu van sekolah umur 68 tahun bagi surat dengan bahasa menggelikan kepada anak perempuan umur 12 tahun?

"Anak aku sampai takut dan meluat tengok muka dia,” katanya dalam perkongsian di media sosial.

Dia mendakwa perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak polis dan tangkapan juga dibuat, namun lelaki berkenaan dibebaskan atas faktor usia.

"Dia bebas bekerja seperti biasa. Masalahnya, anak kita pula yang stres kena bertembung dengan dia setiap hari.

"Ada pengakuan daripada majikan mengatakan ini kes kedua, tapi kes pertama tiada laporan polis," katanya. 

Lebih mengecewakan, bapa tersebut mendakwa majikan kepada pemandu van itu enggan menamatkan perkhidmatan lelaki terbabit.

"Majikan tak nak berhentikan dia dan dedahkan anak-anak lain kepada orang gila ni. 

"Anak saya terpaksa bertembung orang gila ni setiap hari walaupun dah tak naik lagi van syarikat tak bertanggungjawab ni," katanya.

Dalam perkongsian sama, bapa berkenaan turut memuat naik kandungan surat bertulisan tangan yang didakwa hasil nukilan pemandu van tersebut kepada anaknya.

Menerusi surat itu, warga emas itu menyatakan dia tidak dapat tidur serta tiada selera makan kerana merindui kanak-kanak tersebut.

Berdasarkan apa yang ditulis, tujuan surat itu dihantar adalah bagi memujuk kanak-kanak berkenaan kerana dikatakan sudah mula menjauhkan diri daripanya.

"Berbaiklah semula dengan acik seperti dulu hingga kekal bila-bila. Jangan la merajuk, sedih acik, hari-hari acik tak makan dan tak boleh tidur.

"Tolong la, jangan tinggalkan acik ya. Buatlah macam biasa. Walau macam mana pun awak XXX (nama kanak-kanak) tetap ada dalam hati acik," tulis warga emas itu.

Artikel Lain