suria

“Dia tak sedar pun buat macam tu” - Ibu rayu henti spekulasi tindakan anak duduk luar tingkap asrama, rupanya hidap ‘anxiety’

Tekanan boleh membuatkan seseorang bertindak di luar kawalan. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar perempuan berusia 19 tahun yang mencetuskan situasi cemas di sebuah asrama di Jabatan Pertanian Serdang, pada pagi Ahad lalu, sebenarnya sedang bergelut dengan masalah kesihatan yang serius.

Bagi mengelakkan spekulasi liar terus tersebar, seorang pengguna media sosial yang dipercayai ibu kepada pelajar berkenaan tampil memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenar anaknya itu.

"Maaf ya saudara saudari semua, itu anak saya. Dia ada anxiety dan dalam rawatan di Hospital Serdang selama ini.

"Dia asalnya kena buli, apabila terjadi lagi dia macam stres. Dia tak sedar pun dia buat macam tu. Maaf ya.

"Terima kasih atas komen-komen semua. Doakan anak saya baik-baik saja," tulisnya menerusi ruangan komen dalam hantaran Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan, Selangor.

Komen dari seorang wanita yang dipercayai ibu kepada pelajar terbabit.

Terdahulu, pelajar terbabit dilaporkan duduk di kawasan luar tingkap bangunan berkenaan, sekali gus mencetuskan situasi panik dalam kalangan penghuni lain.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 7.37 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba melakukan pemeriksaan awal dan berjaya menenangkan serta memujuk mangsa daripada bertindak di luar kawalan," kata Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I Nor Azuwan Zulghoni.

Mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan institusi untuk tindakan lanjut.

Menurut kemas kini terbaharu di laman Facebook berkenaan, pelajar terbabit kini sedang menerima rawatan hospital dan sokongan perubatan berkaitan masalah kebimbangan serta halusinasi.

Artikel Lain