KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan tiga inisiatif baharu iaitu i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan dalam usaha memperkukuh kesejahteraan ahli serta memastikan jaminan kewangan yang lebih mampan merentas generasi.Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam membantu ahli membuat keputusan kewangan lebih baik demi memastikan simpanan persaraan kekal mampan sepanjang hayat. "Dengan jangka hayat yang semakin meningkat, perancangan persaraan kini harus melangkaui fasa pengumpulan simpanan. Ia perlu memberi tumpuan kepada kecukupan dan bagaimana simpanan tersebut dapat bertahan sepanjang tempoh persaraan," ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.Menerusi kemudahan i-Legasi, ahli KWSP kini boleh memindahkan sebahagian simpanan mereka kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat selepas mencapai umur pengeluaran penuh.Menurut KWSP, pemindahan tersebut bagaimanapun tertakluk kepada Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), iaitu hanya simpanan yang melebihi tahap Simpanan Mencukupi layak dipindahkan.ARTIKEL BERKAITAN: Kadar dividen bukan sahaja sama, perunding kewangan kongsi sebab caruman syariah lebih ‘untung’ berbanding konvensionalDana yang dipindahkan pula akan diambil daripada simpanan sedia ada yang boleh dikeluarkan sebelum dimasukkan ke akaun simpanan persaraan penerima.Langkah itu bertujuan memastikan simpanan berkenaan terus terpelihara bagi kegunaan persaraan jangka panjang.Ahli berumur 55 atau 60 tahun ke atas yang mempunyai simpanan melebihi ambang Simpanan Mencukupi boleh memindahkan dana kepada lebih daripada seorang ahli keluarga, selagi baki simpanan mereka kekal melebihi tahap ditetapkan.Bagaimanapun, penerima mestilah ahli keluarga terdekat seperti pasangan atau anak yang berumur bawah 60 tahun selain merupakan warganegara Malaysia atau penduduk tetap dan ahli KWSP.Dalam perkembangan sama, KWSP turut menjenamakan semula kaedah pembayaran bulanan sedia ada di bawah Pengeluaran Umur 55/60 kepada i-Emas.Menurut KWSP, inisiatif itu diperkenalkan bagi menggalakkan ahli mengurus simpanan persaraan secara lebih mampan dan terancang.Melalui kemudahan i-Emas, ahli boleh memilih pembayaran bulanan automatik berbanding membuat pengeluaran penuh selepas mencapai umur persaraan.Pada masa sama, baki simpanan yang masih ada akan terus menerima dividen tahunan.Ahmad Zulqarnain berkata, lebih 21,000 ahli telah memilih kaedah pengeluaran bulanan selepas mencapai umur 55 atau 60 tahun.Menurutnya, perkara itu menunjukkan semakin ramai ahli sedar tentang kepentingan mempunyai pendapatan persaraan yang lebih stabil dan berstruktur.Selain itu, KWSP turut melancarkan Kalkulator Matlamat Persaraan menerusi aplikasi i-Akaun bagi membantu ahli merancang kewangan persaraan dengan lebih baik.Alat digital tersebut membolehkan ahli menganggarkan jumlah simpanan diperlukan pada masa depan berdasarkan gaya hidup dan perbelanjaan yang dirancang. Ia juga membantu pengguna mengenal pasti jurang simpanan serta menilai tahap kesiapsiagaan kewangan mereka sebelum bersara.Menurut KWSP, semua inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk membina sistem persaraan yang lebih holistik, termasuk dari segi pengumpulan simpanan, pengurusan pendapatan mampan dan keselamatan kewangan antara generasi.