suria

Ikmal Amry buka kisah lampau, beberapa kali dicabul... “Dia nak cium dan pegang bawah”

Ikmal dedah beberapa kali dicabul semasa sekolah.

PELAKON Ikmal Amry berkongsi pengalaman pahit pernah beberapa kali menjadi mangsa cabul ketika masih berada di bangku sekolah.

Mengimbas kejadian lalu, Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 32, berkata, peristiwa hitam itu berlaku ketika dia baru berusia sekitar tujuh atau lapan tahun membabitkan seorang pekerja warga asing yang juga merupakan kakitangan syarikat bapanya.

"Ketika itu umur saya baru darjah satu atau dua. Ayah ada bawa pekerja daripada Indonesia dan kami tidur dalam satu ruang yang sama.

Ikmal berkongsi perkara itu di podcast Sembang Seram. 

"Malam-malam, saya akan kena cabul dengan seorang pekerja itu. Setiap hari. Saya sedar yang dia nak cium, pegang-pegang. Hari pertama ingatkan dia pegang itu adalah biasa sebabkan sayang dan anggap dia itu orang tua. Tapi lama-lama makin pelik.

"Dia pusingkan muka aku, dia nak cium aku dan pegang bawah (kemaluan). Selepas itu saya terus tukar tempat tidur," katanya menerusi sesi podcast Sembang Seram.

Menurut Ikmal, trauma yang dilaluinya tidak terhenti apabila dia sekali lagi menjadi mangsa gangguan seksual ketika menuntut di sebuah sekolah asrama.

Kata Ikmal, lebih menyedihkan apabila perbuatan itu dilakukan oleh kawan baiknya sendiri sehingga menyebabkan dia mengalami gangguan mental dan tekanan perasaan yang teruk.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikmal Amry menangis Aedy Ashraf selit RM50 bawah dompet, kenang jasa baik sahabat

ARTIKEL BERKAITAN: Ikmal Amry dah lama minat Amyra Rosli, siap hantar DM sekitar tahun 2014... Dulu panggil kakak

"Ada lagi yang lain semasa aku sekolah asrama, kawan baik aku sendiri yang buat benda itu. Satu hari ada kawan bagitahu yang budak itu setiap hari akan cabul aku dan memang aku tak sedar. Dia buka seluar, dia pegang dan kemudian dia pergi.

"Benda itu buatkan aku stres sehingga depression sebab orang cakap aku ini gay. Bila cakap dekat ustaz, ustaz kata yang aku ini kena hasut jin sebab memang mental ketika itu. Pergi sekolah pun pakai kain pelekat," ceritanya lagi.

Pelakon drama Gantung ini turut menceritakan detik cemas apabila dia sekali lagi hampir menjadi mangsa ketika dalam perjalanan pulang ke Melaka untuk mendapatkan rawatan atas nasihat seorang ustaz.

"Masa itu balik naik bas balik Melaka, selepas itu nak naik teksi untuk balik rumah tiada duit. Ada kereta berhenti, bagi tumpangkan. 

Ikmal tertekan dengan masalah yang dilaluinya itu. 

"Aku tiada pilihan, naik orang itu. Tapi dalam kereta itu dia raba aku. Aku lari, kemudian telefon guna telefon awam abang untuk ambil," ujarnya.

Selepas melalui fasa tersebut, Ikmal bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana segala trauma itu pulih selepas dia pulang bertemu dan mendapatkan restu daripada ibunya.

Ikmal menyifatkan sokongan dan doa seorang ibu adalah penawar paling mujarab bagi setiap kesakitan yang dialaminya.

"Selepas dua hari, aku sudah elok. Dah boleh nak pergi sekolah dan belajar seperti biasa. Sebenarnya, ubat yang paling bagus adalah doa ibu. Doa ibu memang terbaik," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain