SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis selepas dipercayai membunuh rakannya gara-gara pertikaian hutang berkaitan permainan dalam talian.Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Indore, Madhya Pradesh, India. Ketua Polis Daerah Luar Bandar, Rajendra Kumar Verma berkata, mayat mangsa dikenali sebagai Sameer Patel, 32, ditemukan di kawasan bawah seliaan Balai Polis Betma pada 7 Mei lalu.Susulan itu katanya, suspek dikenali sebagai Ramzan Patel berjaya ditahan selepas polis menerima maklumat awam sebelum dia mengaku terlibat dalam pembunuhan tersebut ketika disoal siasat.Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mereka aktif bermain permainan dalam talian dan mempunyai pertikaian kewangan melibatkan wang kemenangan serta kerugian dalam permainan itu."Ramzan dipercayai mengalami kerugian kira-kira Rs10 lakh (lebih RM41,111) dan berhutang dengan Sameer menerusi permainan berkenaan."Namun dia sudah membayar semula sebanyak Rs7 lakh (kira-kira RM28,777), punca pertengkaran berkemungkinan tercetus daripada baki hutang yang masih belum dijelaskan," katanya.Menurut Verma, suspek dipercayai bertindak membunuh Sameer dengan memukul kepala mangsa menggunakan batu ketika pertengkaran berlaku.Tambah beliau, pihak polis kini sedang meneliti telefon bimbit milik suspek dan mangsa bagi mengetahui sejak bila mereka terbabit dalam aktiviti permainan dalam talian itu selain mahu mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat. -Agensi