suria

Perbuatan bomoh perdaya wanita sertai ritual ‘threesome’ terbongkar, terlepas cakap pada suami mangsa - “Anak lahir nanti muka macam aku!”

Suspek ditahan selepas mangsa membuat pengakuan kepada suaminya.

 

SEORANG bomoh ditahan polis selepas didakwa memperdaya wanita yang mahu mendapatkan zuriat dengan melakukan ritual seks songsang terhadapnya.

Suspek berusia 42 tahun itu didakwa mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan melakukan hubungan intim bertiga atau threesome sebagai sebahagian ritual bagi mendapatkan anak dengan lebih cepat. 

Kejadian dilaporkan berlaku di Pati, Indonesia.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pati, Pesuruhjaya Dika Hadiyan Widya Wiratama, ritual tersebut dimulakan dengan suspek melakukan hubungan seks bersama isterinya terlebih dahulu sebelum meneruskannya dengan mangsa.

"Perbuatan itu dilakukan sebanyak tiga kali sepanjang tahun 2025," katanya pada Selasa.

Difahamkan, komunikasi antara suspek dan mangsa dilakukan menerusi isteri suspek yang juga mempunyai pertalian keluarga dengan wanita berkenaan.

Malah, suspek turut meminta mangsa menghantar video hubungan intim bersama suami, kononnya bagi tujuan doa dan rawatan.

Kegiatan terbabit terbongkar selepas suspek membuat kenyataan mencurigakan kepada suami mangsa dengan mengatakan lelaki itu tidak perlu terkejut jika anak yang bakal lahir nanti menyerupainya.

Kenyataan tersebut menimbulkan sangsi sebelum mangsa akhirnya tampil menceritakan perkara sebenar kepada suaminya ketika dirinya sudah hamil empat bulan.

Suami mangsa kemudian membuat laporan polis pada April 2026 kerana kecewa dengan tindakan suspek.

Susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek di Jepara ketika dia pulang melawat keluarganya.

Suspek kini berdepan hukuman penjara maksimum 12 tahun mengikut Akta Jenayah Keganasan Seksual (TPKS) Indonesia.

Dalam masa sama, polis turut menyiasat penglibatan isteri suspek dan tidak menolak kemungkinan wanita itu juga menjadi mangsa tekanan suaminya sendiri.-Agensi

 

Artikel Lain