suria

Bapa ketakutan anak ugut mahu bunuh dan kerat mayatnya, remaja 18 tahun ditahan polis

Ugutan bunuh adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan AI

SEORANG pelajar sekolah menengah berusia 18 tahun di Sapporo, Jepun ditahan polis selepas didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan kepada bapanya sendiri.

Menurut polis, remaja lelaki itu dipercayai membuat ugutan tersebut menerusi panggilan telefon kepada bapanya yang berada di rumah mereka di daerah Chuo kira-kira pukul 1 tengah hari Ahad.

Berdasarkan laporan, si bapa kemudian menghubungi polis dan memaklumkan bahawa anaknya mengeluarkan kata-kata ugutan termasuk mahu membunuh serta mengerat tubuhnya.

"Lima minit lalu anak saya telefon dan berkata dia akan membunuh saya serta memotong badan saya. Dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sekarang," demikian aduan lelaki itu kepada polis.

Susulan itu, pasukan polis tiba di kediaman tersebut tidak lama selepas remaja berkenaan pulang dan menahannya.

Ketika disoal siasat, suspek mengaku ada mengeluarkan ugutan bunuh namun menafikan dia berkata mahu mengerat tubuh bapanya.

"Saya ada cakap mahu bunuh dia, tetapi saya tak kata mahu kerat badannya," katanya kepada polis.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat motif kejadian serta keadaan sebenar yang membawa kepada insiden berkenaan. -Agensi

Artikel Lain