SEORANG suri rumah ditahan polis selepas dipercayai menyerang wanita warga emas sehingga maut gara-gara mengungkit soal hutang.Dalam kejadian di Kampung Baruga, Kabupaten Majene, Sulawesi Barat, pada 5 Mei lalu, mangsa yang berusia 65 tahun meninggal dunia akibat dihentak menggunakan lesung batu. Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Majene, AKP Fredy berkata, mangsa dengan suspek berusia 39 tahun itu mempunyai pertalian persaudaraan.Menurutnya, pada hari kejadian, suspek datang ke rumah mangsa pada sebelah pagi dan meminta supaya wanita berkenaan tidak menceritakan kepada orang lain mengenai pinjamannya.Selepas pertemuan itu, suspek pulang sebelum kembali semula pada petang hari untuk mengambil jam tangan yang tertinggal di bilik mandi rumah mangsa.Bagaimanapun, ketika berbual semula selama kira-kira sejam, mangsa didakwa mengungkit bahawa suspek sering datang ke rumahnya untuk meminjam wang walaupun mereka tidak mempunyai hubungan rapat.Kenyataan tersebut dipercayai menimbulkan kemarahan suspek sebelum dia bertindak mengambil lesung batu dari dapur dan menyerang mangsa.Dia kemudian membawa mangsa yang sudah tidak sedarkan diri ke bilik tidur, sebelum membakar tisu dan pakaian mangsa dipercayai untuk menghapuskan bukti.Suspek kemudian bertindak mengunci pintu rumah dari luar sebelum melarikan diri.Mangsa ditemukan meninggal dunia kira-kira sejam selepas kejadian tragis itu.Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada badan mangsa.Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan kini ditempatkan di lokap Polis Majene bagi membantu siasatan lanjut. -Agensi