Umat Islam yang berada di masjid hendaklah menjaga adab serta mengelakkan perkara yang boleh melalaikan. -Gambar hiasan AI
MEMASUKI 10 malam terakhir Ramadan, suasana di masjid semakin meriah dengan kehadiran umat Islam yang mengambil peluang beriktikaf demi mengejar ganjaran pahala berlipat kali ganda.Dalam kesungguhan beribadah, mungkin ada perkara kecil yang ada di antara kita terlepas pandang. Mana tidaknya, ketika waktu senggang di masjid, ada yang meluangkan masa dengan melayari telefon pintar termasuk membeli-belah secara dalam talian.Isu ini menjadi perbincangan hangat di media sosial selepas seorang individu mengajukan soalan mengenai larangan membeli-belah dalam talian di dalam masjid di Threads."Tadi ada baca satu posting ni. Dia cakap jangan checkout barang ketika dalam masjid. Maksudnya tak boleh buat apa-apa transaksi kalau dalam masjid."Betul ke? Ada yang boleh terangkan?" demikian soalan yang diajukan.ARTIKEL BERKAITAN: Beras import atau tempatan? Rupanya ramai masih keliru cara tentukan kadar zakat fitrah... Huraian ini boleh bantu andaJusteru, adakah perbuatan ini dibenarkan dan apakah hukumnya?Memetik portal rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor, umat Islam yang berada di masjid hendaklah menjaga adab serta mengelakkan perkara yang boleh melalaikan.Imam al-Tabari turut menjelaskan aktiviti jual beli di dalam masjid termasuk dalam perkara yang boleh mengganggu fokus ibadah.Perkara ini turut disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:"Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual dan membeli di dalam masjid, maka katakanlah kepadanya, semoga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu". (Riwayat al-Tirmizi)Berdasarkan hadis tersebut, jumhur ulama berpendapat bahawa hukum jual beli di dalam masjid adalah makruh, tidak kira sama ada barang itu berada di situ atau tidak. Ramai yang tidak melepaskan peluang mengimarahkan masjid untuk beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan. -Gambar hiasan AINamun, terdapat juga sebahagian ulama yang mengharamkannya kerana wujud larangan jelas daripada Nabi Muhammad SAW.Larangan ini turut diperkuatkan dengan riwayat lain daripada 'Amru bin Syu'aib, maksudnya:"Rasulullah SAW melarang jual beli di masjid, mencari barang yang hilang, melagukan syair dan membuat halaqah sebelum solat Jumaat." (Riwayat Abu Daud)Secara asasnya, para ulama bersepakat bahawa jual beli merupakan urusan keduniaan yang tidak sepatutnya bercampur dengan aktiviti ibadah yang bertujuan menambah amalan akhirat. Justeru, perbuatan tersebut adalah tidak digalakkan, malah boleh menjadi dilarang dalam keadaan tertentu.Had masjidNamun begitu, larangan ini tidak bersifat mutlak tanpa mengambil kira situasi semasa.Menurut penjelasan lanjut, hukum tersebut perlu dilihat berdasarkan beberapa keadaan, termasuk peranan pihak pengurusan masjid, penjual dan juga pembeli. Semua pihak perlu memahami sempadan kawasan masjid agar tidak mengganggu jemaah lain serta menjaga kesucian rumah Allah.Tambahan pula, seni bina masjid moden kini kebanyakannya lebih luas dan berfungsi sebagai pusat komuniti yang menempatkan pelbagai aktiviti selain ibadah. Oleh itu, penentuan had kawasan masjid menjadi sangat penting, bagi membezakan ruang khusus untuk solat dan ruang yang dibenarkan untuk aktiviti sosial.Kesimpulannya, walaupun nampak remeh seperti checkout barang secara online, umat Islam disarankan lebih berhati-hati agar tidak melakukan perkara yang dilarang dan boleh mengurangkan fokus ibadah.