MENUNAIKAN zakat fitrah merupakan kewajipan bagi setiap umat Islam pada bulan Ramadan sebagai penyucian diri selain bertujuan berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan.Kadar zakat fitrah yang dikenakan adalah berbeza mengikut negeri dan turut mengambil kira jenis beras yang biasa dimakan oleh pembayar zakat. Namun tular di media sosial perkongsian seorang lelaki yang mendakwa dia berdepan situasi kurang menyenangkan ketika mahu menunaikan zakat fitrah.Menurut lelaki tersebut, dia terkejut apabila amil yang bertugas memberitahunya untuk membayar kadar zakat fitrah bagi beras import, sedangkan kebiasaannya dia dan keluarganya hanya makan beras tempatan.ARTIKEL BERKAITAN: Ramadan hampir sampai penghujung... Sempat lagi semak amal ibadat, elak termasuk 4 golongan paling rugiDia bagaimanapun menjelaskan, perkongsiannya bukan bertujuan mempertikaikan kewajipan membayar zakat fitrah, sebaliknya hanya meluahkan kekeliruan sama ada amil mempunyai kuasa untuk menentukan jenis beras serta kadar zakat yang perlu dibayar oleh seseorang.Isu sama pernah mendapat perhatian pendakwah bebas, Ustaz Jafri Mahmoodi yang tampil memberikan penjelasan bagi merungkai kekeliruan masyarakat mengenai perkara tersebut.Menurut beliau, kadar bayaran zakat fitrah sebenarnya berkait rapat dengan jenis makanan ruji yang biasa dimakan oleh seseorang individu atau keluarganya, khususnya beras."Apabila kita hendak membayar zakat fitrah, kita perlu melihat jenis beras yang biasa dimakan dalam keluarga kita. Ia berkait dengan jumlah bayaran zakat fitrah yang perlu ditunaikan," jelasnya.Sebagai contoh, beliau memetik kadar zakat fitrah di Kedah yang berbeza mengikut jenis beras yang dimakan.Kadar zakat fitrah dibayar berdasarkan jenis beras yang biasa dimakan. -Gambar hiasan AIKatanya, bagi individu yang biasa makan beras tempatan, kadar zakat fitrah adalah RM9 seorang.Bagi mereka yang menggunakan beras import pula, kadar yang ditetapkan ialah RM15 seorang, manakala bagi beras basmathi dan seangkatan dengannya, kadar zakat fitrah adalah RM23 seorang."Tengoklah kita biasa makan beras jenis apa, maka kita dituntut untuk bayar zakat fitrah sesuai dengan jenis beras yang kita makan," ujarnya.Bagaimanapun, timbul persoalan dalam situasi tertentu apabila beras tempatan sukar diperoleh di pasaran sehingga ada pengguna terpaksa membeli beras import yang lebih mahal.Menurut Ustaz Jafri Mahmoodi, dalam keadaan tersebut, seseorang itu masih boleh membayar zakat fitrah berdasarkan jenis beras yang biasa dimakan, bukannya beras yang dibeli kerana terpaksa."Keadaan yang berlaku, apabila tidak ada beras tempatan dalam pasaran dan orang terpaksa beli beras import, tapi dia bukan jenis orang yang mampu."Kalau ada beras biasa, dia beli beras biasa. Tapi dah tak ada di pasaran, dia terpaksa beli beras import."Maka memadai untuk dia bayar ikut nilai beras tempatan sebab itu adalah beras kebiasaan yang dia makan, bukanlah beras import," jelasnya lagi. Sebagai maklumat tambahan, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan hukum seseorang yang makan beras import dan ingin mengeluarkan zakat mengikut kadar beras tempatan adalah harus. Meskipun begitu, sekiranya seseorang itu berkemampuan untuk mengeluarkan zakat melebihi kadar yang diwajibkan atau menunaikan mengikut kadar jenis beras yang dimakan sebagaimana diamalkan kini, maka ia amatlah digalakkan dan hukumnya adalah sunat.