suria

Tak risau cari makanan halal di Hong Kong, sekarang dah banyak port ‘Muslim friendly’ untuk pelancong

Dah banyak lokasi tumpuan pelancong di Hong Kong menyediakan makanan halal untuk pelancong Muslim.

MELANCONG ke Hong Kong kini bukan lagi sesuatu yang merisaukan buat pelancong Muslim, terutamanya apabila melibatkan soal makanan halal.

Jika sebelum ini pilihan agak terhad, namun kini semakin banyak restoran dan premis makanan di destinasi tumpuan menawarkan hidangan halal dengan lebih mudah.

Malah, di beberapa lokasi pelancongan popular di Hong Kong, pengunjung boleh mendapatkan makanan halal tanpa perlu mencari jauh.

Pelancong Muslim dah tak perlu risau mencari makanan halal dan restoran Muslim friendly di Hong Kong.

Perubahan ini sekali gus menunjukkan kesediaan bandar tersebut dalam menjadi destinasi mesra Muslim, selari dengan peningkatan jumlah pelancong dari negara Islam.

Jadi, buat korang yang bercadang untuk bercuti ke Hong Kong, tidak perlu lagi gusar mengenai keperluan makanan sepanjang perjalanan. 

Jom kita lihat lima lokasi pelancongan menarik yang bukan sahaja mesra Muslim, malah turut menawarkan pilihan premis makanan halal untuk keselesaan pengunjung.

1. Masjid Ammar and Osman Ramju Sadick Islamic Centre (Islamic Centre Canteen)

Kalau korang bercuti ke Hong Kong dan tercari-cari makanan halal yang sedap serta mudah diakses, tempat ini memang wajib masuk dalam senarai.

Terletak di kawasan Wan Chai, pusat Islam ini bukan sahaja menjadi lokasi ibadah umat Islam, malah terkenal dengan kantin halal yang sentiasa dipenuhi pengunjung.

Kantin yang berada di tingkat lima bangunan ini menawarkan pelbagai hidangan tempatan Hong Kong yang semestinya halal dan mesra Muslim.

Pelbagai pilihan dim sum enak cita rasa tempatan dijual di Islamic Centre Canteen.

Antara menu popular yang sering menjadi pilihan ialah dim sum, nasi goreng dan mi goreng yang dimasak segar setiap hari dengan cita rasa asli.

Suasana di sini juga cukup selesa dan santai, sesuai untuk korang singgah berehat sambil menikmati makanan selepas berjalan sekitar bandar.

Harga makanan pula berpatutan, menjadikannya pilihan popular dalam kalangan pelancong Muslim dari seluruh dunia.

2. Wayfinders Table (Hong Kong Disneyland)

Dah penat seharian berjalan dan bermain di Disneyland, mestilah perut pun mula lapar. Jadi, inilah tempat yang sesuai untuk korang singgah makan sambil berehat bersama keluarga.

Restoran yang terletak di dalam kawasan Hong Kong Disneyland ini menawarkan pilihan makanan halal yang mudah untuk pengunjung Muslim.

Suasana restoran juga luas, selesa dan sesuai untuk keluarga terutama yang datang bersama anak-anak.

Aneka makanan halal disediakan diyakini memenuhi cita rasa pelancong Malaysia.

Antara hidangan yang boleh dicuba termasuk sajian Asia dan Barat seperti nasi, mi, ayam panggang serta pelbagai pilihan makanan ringan yang mengenyangkan.

Selepas menikmati makanan di sini, bolehlah sambung semula aktiviti dan menikmati pelbagai tarikan menarik di Disneyland tanpa perlu risau kelaparan.

Disneyland Hong Kong turut menyediakan Quiet Room yang membolehkan pelancong Muslim menunaikan solat.

Ada juga disediakan kemudahan tambahan seperti Quiet Room khas yang dilengkapi dengan tempat mengambil wuduk berhampiran lokasi ini.

Ia membolehkan pelancong Muslim menunaikan solat harian dengan selesa ketika berada di dalam taman tema.

3. Wu Zhi Jian Beef Noodles

Kalau korang peminat mi sup daging yang pekat dengan rasa rempah yang kuat, Wu Zhi Jian Beef Noodles memang antara tempat yang patut dicuba.

Restoran terletak di Wan Chai Hong Kong ini terkenal dengan hidangan mi daging lembu berkuah panas yang kaya dengan rasa. 

Setiap mangkuk dihidangkan bersama potongan daging yang lembut serta mi yang kenyal, menjadikannya sangat memuaskan untuk penggemar makanan berkuah.

Halal dan menyelerakan... Pelbagai juadah enak dijual di sini.

Menariknya, restoran ini turut menyediakan pilihan makanan halal, jadi ia sesuai untuk pelancong Muslim yang mencari hidangan mi daging yang autentik.

Suasana kedai yang ringkas tetapi selesa menjadikannya tempat yang sesuai untuk makan santai, sama ada seorang diri atau bersama rakan dan keluarga. 

Jika korang berada di Hong Kong dan teringin cuba beef noodles yang berbeza, tempat ini memang berbaloi untuk disinggah.

4. Café Ocean (Ocean Park Hong Kong)

Kalau singgah di Ocean Park, jangan risau pasal makanan halal sebab ada satu tempat makan yang memang popular dalam kalangan pengunjung Muslim iaitu Café Ocean.

Restoran ini terletak dalam kawasan taman tema Ocean Park dan terkenal sebagai salah satu pilihan makanan halal yang disediakan khas untuk pelawat Muslim.

Jadi korang boleh makan dengan lebih tenang tanpa perlu bimbang tentang status halal makanan.

Di sini, pelbagai hidangan menarik ditawarkan termasuk nasi ayam, mi berkuah, satay, laksa dan beberapa menu berasaskan masakan Asia yang sesuai dengan citarasa ramai.

Portion pun agak berbaloi, sesuai untuk isi tenaga lepas penat berjalan dan naik ride dalam taman tema.

Kalau lapar boleh singgah di Cafe Ocean.

Suasana di Café Ocean juga sangat selesa, dengan ruang makan yang luas serta pemandangan menarik sekitar Ocean Park.

Memang sesuai untuk rehat seketika sambil menikmati makanan sebelum sambung explore tarikan lain seperti akuarium dan persembahan haiwan.

Pendek kata, kalau korang ke Ocean Park, restoran ini memang antara spot wajib singgah untuk pengunjung Muslim yang nak makan dengan mudah dan selesa.

5. My Kitchen dan Daerah Kowloon 

Tak susah nak cari makanan halal di Kowloon kerana ini antara lokasi tumpuan komuniti Muslim yang turut menyediakan banyak restoran halal.

Salah satu tempat popular dalam kalangan pelancong Muslim ialah My Kitchen, sebuah gerai tepi jalan yang terkenal dengan hidangan Tibet mesra halal.

Antara menu yang wajib dicuba di sini ialah Tibetan momos tradisional yang didatangkan dengan pilihan inti ayam, daging lembu, atau sayur-sayuran.

Selain itu, terdapat juga hidangan lain seperti mi thukpa sejuk, pastri goreng, dan roti kukus.

Banyak gerai dan restoran halal di kawasan Kowloon.

Menurut maklumat setempat, kawasan Kowloon memang terkenal dengan deretan restoran halal, terutamanya masakan Pakistan, India dan Timur Tengah yang mudah ditemui oleh pelancong Muslim.

Jordan Street di Kowloon memang boleh dikatakan 'halal food hotspot' di Hong Kong, terutama untuk pelancong Muslim.

Korang boleh jumpa pelbagai pilihan dari kari Pakistan, makanan Tibet, sampai kebab Timur Tengah, semua dalam jarak berjalan kaki dari stesen MTR Jordan.

Wajib singgah di Jordon Street untuk mencari cenderahati sebelum pulang ke Malaysia.

Sebenarnya, banyak lagi restoran dan premis yang menyediakan makanan halal dan Muslim friendly di Hong Kong ni.

Memandangkan sekarang semuanya di hujung jari saja, korang boleh semak sendiri senarai restoran halal menerusi laman web Discover Hong Kong.

Selepas ini, dah tak perlu nak risau mengenai makanan dan lokasi mesra untuk pelancong Muslim kerana Hong Kong dah menyediakan semua keperluan itu untuk korang.

Artikel Lain