suria

Model agropelancongan moden... PKPS perkukuh Selangor Fruit Valley sebagai destinasi bertaraf dunia

Pelbagai tarikan menanti pengunjung di Selangor Fruit Valley.

PERBADANAN Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus memperkukuh Projek Selangor Fruit Valley (SFV) sebagai destinasi agropelancongan bertaraf antarabangsa yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi agro negeri serta pertumbuhan sektor pelancongan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, SFV berjaya merekodkan seramai 500,000 pengunjung sepanjang tempoh 2021 hingga 2025 sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap produk pelancongan berasaskan agro, pendidikan dan rekreasi keluarga.

Menurutnya, SFV turut menerima kehadiran pelancong antarabangsa dari United Kingdom, Australia, Rusia, Afrika, China, India, Jepun dan Korea.

“Sebagai destinasi agropelancongan popular di Selangor, SFV mencatatkan pendapatan sebanyak RM7 juta pada tahun 2025 meliputi jualan buah-buahan dan sayur-sayuran, aktiviti agropelancongan, jualan produk ACE serta sewaan tanah kepada usahawan tani,” katanya.

Mohamad Khairil berkata SFV merekodkan seramai 500,000 pengunjung sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.

Tambahnya, SFV menerima kira-kira 100,000 pengunjung pada tahun 2025 dan menyasarkan peningkatan kepada 150,000 pengunjung pada tahun 2026 selaras dengan strategi pengembangan sektor agropelancongan negeri.

SFV turut menampilkan konsep pelancongan berasaskan pendidikan agro dengan menawarkan pengalaman interaktif berkaitan pertanian, tanaman dan ekosistem makanan kepada pengunjung pelbagai lapisan usia.

Antara tarikan utama di SFV termasuk Eco Bridge, Animal Garden, Taman Arnab, Taman Rusa, Laman Itik, Rumah Kampung, Laman Ikan serta pelbagai aktiviti sukan air.

“Pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman menaiki tram, memberi makan haiwan, menghasilkan telur masin, memandu ATV, memetik buah-buahan dan sayur-sayuran serta menyertai aktiviti penanaman pokok,” katanya.

Inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi PKPS untuk memperkukuh ekonomi agro melalui pendekatan bersepadu yang menggabungkan sektor pelancongan, pendidikan dan pembangunan komuniti.

SFV turut menampilkan konsep pelancongan berasaskan pendidikan agro.

Sebagai organisasi utama dalam industri perladangan dan agro-makanan, Mohamad Khairil berkata PKPS komited menerajui transformasi sektor agro Selangor ke arah ekosistem yang lebih moden, berdaya saing dan mampan. 

“Pada Januari 2026, PKPS melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis 2026–2030 (SEED 2030) bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri serta menjamin akses makanan rakyat dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan global. 

“Pelan SEED 2030 digerakkan menerusi lima teras strategik yang disokong oleh anak-anak syarikat PKPS termasuk SFV, dengan fokus terhadap pengukuhan rantaian bekalan makanan, inovasi agro, pembangunan bakat serta pengembangan ekonomi agro bernilai tinggi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, SFV bukan sahaja berkembang sebagai destinasi pelancongan malah berperanan sebagai platform pendidikan agro dan pemangkin pembangunan industri makanan negeri.

“PKPS komited untuk terus memperkasa SFV sebagai model agropelancongan moden yang berdaya saing serta mampu memberi impak ekonomi mampan kepada Selangor,” ujarnya.

Artikel Lain