suria

Bekas wartawan URTV, Joha meninggal dunia… Individu temukan jodoh Haiza, atur fotografi Siti Nurhaliza & Zarul

Allahyarham Joha menghembuskan nafas terakhir pada Rabu.

DUNIA hiburan dikejutkan dengan berita pemergian bekas Ketua Unit Hiburan Majalah, Utusan Karya Sdn Bhd (UKSB), Noor Joha Ahmad yang meninggal dunia pada Rabu. 

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 12.30 tengah hari di Hospital Ampang, Selangor akibat kompikasi pelbagai penyakit termasuklah kegagalan buah pinggang.

Berita kematian itu disahkan oleh Timbalan Presiden, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Niezam Abdullah.

Noor Joha, 60, yang masih bujang sebelum itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dibawa keluarga dari rumahnya di AU2 Keramat ke Hospital Ampang pada Rabu untuk mendapatkan rawatan.

Joha menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang. 

Allahyarham kerap menerima rawatan di hospital berkenaan susulan kesihatan yang semakin merosot selain menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu kerana menghidap penyakit diabetes dan masalah buah pinggang sejak lebih 10 tahun lalu. 

Noor Joha memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Melayu (M) Berhad pada 1994 selepas menamatkan pengajiannya di Indonesia peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Linguastik Bahasa Indonesia.

Ketika menyertai Utusan, Allahyarham mulanya di tempatkan di meja berita sebelum ditukarkan ke majalah URTV.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas wartawan, penerbit majalah Pesta Fauziah Rauf meninggal dunia 

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas editor URTV, Rosli Manah meninggal dunia

Allahyarham kemudian diberi peluang kenaikan pangkat sebagai Ketua Unit Hiburan yang merancang penerbitan majalah-majalah hiburan bawah anak syarikat Utusan Melayu itu selain menggalas peranan sebagai Pengarang Saji.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang kewartawanan hiburan, Allahyarham banyak terlibat menaikan nama artis antaranya kumpulan rock tempatan seperti Spring, Iklim, EYE, Slash, Slam, penyanyi Ziana Zain, Haiza, Allahyarham Maya (Matahari), Siti Sarah Raisuddin dan Amelina.

Antara artikel penulisan Joha. 

Antara kisah menarik Allahyarham apabila dia mengaturkan sesi fotografi antara Datuk Sri Siti Nurhaliza Tarudin dan Zarul (Umbrella) pada awal kemuculan biduanita negara itu di air terjun Sungai Gabai, Hulu Langat Selangor tanpa mengetahui penyanyi itu memegang prinsip tidak bergambar dengan lelaki.

Namun begitu, sesi fotografi berkenaan yang sepatutnya dirancang untuk muka hadapan URTV tidak menjadi sepertimana diharapkan sementara Zarul merupakan satu-satunya artis yang berjaya bergambar dengan Siti Nurhaliza bagi tujuan penerbitan media.

Mengenangkan jasa dan budi Allahyarham itu, Siti Nurhaliza tidak melupakannya dengan memberi sumbangan kepada Allahyarham dan  pengamal media yang kurang bernasib baik semasa Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Nurjiwa Prihatin pada 2024.

Antara kisah menarik lain apabila Allahyarham antara individu terlibat mempertemukan penyampai radio Kool FM yang juga penyanyi Haiza dengan bintang hoki negeri Melaka, Norhanapfe Omar sehinggalah pasangan itu bertemu jodoh pada 2007.

Haiza antara rakan artis yang rapat dengan arwah. 

Sepanjang kerjayanya juga, Allahyarham turut mendapat peluang ke luar negara dengan membuat liputan pertandingan Voice of Asia Music Festival di  Kazakhstan pada 1997 yang menyaksikan Kumpulan Slam mendapat tempat kedua.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, Kuala Lumpur selepas solat Asar pada Rabu.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain