suria

Penjaga pusat jagaan biar warga emas 93 tahun bertarung nyawa lepas jatuh, hanya letak mangsa atas katil sampai nazak

Warga emas maut akibat diabaikan penjaga pusat jagaan. -Gambar hiasan AI

SEORANG penjaga pusat jagaan warga emas ditahan selepas didakwa gagal memberikan bantuan kepada seorang penghuni wanita berusia 93 tahun yang terjatuh sehingga menyebabkan kematiannya.

Suspek dikenali sebagai Seita Fukuda, 36, ditahan atas tuduhan kecuaian profesional yang mengakibatkan kematian.

Berdasarkan laporan polis pada Rabu, kejadian di Hatsukaichi City, Hiroshima, Jepun itu berlaku antara pukul 3.50 pagi hingga 6 pagi pada 21 Mac lalu apabila mangsa dipercayai rebah di lantai biliknya dan mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, Fukuda didakwa tidak mendapatkan bantuan kecemasan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu wanita terbabit.

Apa yang mengejutkan, dia sebaliknya hanya meletakkan semula mangsa di atas katil sebelum meninggalkannya tanpa rawatan lanjut.

Keadaan mangsa hanya disedari pekerja lain ketika menghantar sarapan pagi sebelum panggilan kecemasan dilakukan.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia seminggu selepas kejadian.

Polis memaklumkan punca kematian adalah kejutan neurogenik selain mangsa turut mengalami patah tulang di bahagian leher, rusuk dan pelvis.

Bagaimanapun, tiada kesan kecederaan luaran ditemukan pada tubuh wanita berkenaan. -Agensi

Artikel Lain