Polis menggesa penunggang terlibat supaya tampil secara sukarela ke Ibu Pejabat Polis Makassar bagi memberi keterangan.
TINDAKAN luar biasa seorang penunggang motosikal yang nekad 'mengangkut' sebuah lagi motosikal ketika meredah kesesakan jalan raya kini menjadi bualan hangat netizen selepas rakaman kejadian tular di media sosial.Menerusi klip video tersebut, sebuah motosikal elektrik dilihat diusung begitu sahaja sambil dipegang erat oleh seorang wanita yang berada di ruang pembonceng.Kejadian yang mencuri perhatian ramai itu dilaporkan berlaku di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Video tular itu membuatkan pasukan polis giat mengesan identiti penunggang lelaki dan pembonceng wanita terbabit untuk tindakan susulan termasuk pengeluaran saman.Menurut Pegawai Unit Trafik Polis Bandar Makassar, Inspektor Pertama Murdadi, pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan kenderaan yang terlibat dalam aksi berbahaya tersebut.Tambah beliau, lokasi kejadian dipercayai berlaku di Jalan Veteran Utara, namun waktu sebenar insiden masih belum dikenal pasti."Kami juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan," katanya.Murdadi berkata, tindakan membawa motosikal menggunakan motosikal lain sangat berbahaya bukan sahaja kepada penunggang, malah pengguna jalan raya lain.Tegas beliau, perbuatan itu boleh mengundang kemalangan dan pihak polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap individu terlibat.Dalam masa sama, beliau turut menggesa penunggang tersebut tampil secara sukarela ke Ibu Pejabat Polis Makassar.Tambahnya, motosikal baharu sepatutnya diangkut menggunakan kenderaan belakang terbuka yang sememangnya disediakan pihak pengedar. -Agensi