suria

Gelabah aktiviti haram dihidu tuan rumah, pencuri mangga tergelincir jatuh pokok... Nyawa melayang kepala terhantuk pagar konkrit

Seseorang yang terjatuh dari lokasi tinggi berisiko mengalami cedera parah ataupun kehilangan nyawa. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki dipercayai cuba mencuri mangga menerima padah apabila maut selepas terjatuh dari pokok.

Dalam kejadian di Bandar Bontang, Kalimantan Timur, awal pagi Selasa lalu, mangsa yang dikenali sebagai Ri, 35, dilaporkan memanjat pokok mangga milik seorang penduduk manakala rakannya menunggu di atas motosikal berhampiran lokasi kejadian.

Menurut polis, tindakan mereka terbongkar selepas pemilik rumah  terdengar bunyi mencurigakan dari luar kediamannya sebelum keluar untuk membuat pemeriksaan.

Ketua Unit Jenayah Am, Unit Siasatan Jenayah Polis Bontang, Inspektor Pertama Markus berkata, pemilik rumah tersebut kemudian mendapati seorang lelaki berada di atas pokok mangga di halaman rumahnya.

"Dia terus menjerit 'pencuri' sebelum jeritan itu menarik perhatian penduduk setempat yang kemudian datang beramai-ramai ke rumahnya," katanya.

Rakan mangsa bertindak melarikan diri dengan motosikal manakala mangsa yang panik dipercayai cuba melompat turun dari pokok untuk melarikan diri.

Namun malang menimpanya apabila dia terjatuh dengan kuat sehingga kepalanya terhantuk pada pagar konkrit.

Penduduk kemudian menghubungi pegawai keselamatan kejiranan dan anggota polis komuniti.

Polis tiba kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati mangsa masih memakai topeng muka.

Disebabkan ambulans lambat tiba, penduduk akhirnya membawa mangsa menggunakan kereta persendirian ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Selepas berita kematian tersebar, puluhan individu yang mendakwa ahli keluarga serta saudara-mara mangsa datang ke rumah pemilik pokok mangga berkenaan.

Mereka dilaporkan bertindak agresif dengan merosakkan beberapa bahagian rumah termasuk pagar dan tingkap.

Malah, pokok mangga yang didakwa menjadi punca kejadian turut ditebang oleh keluarga mangsa. -Agensi

Artikel Lain