KEGEMBIRAAN menghadiri majlis perkahwinan bertukar tragedi apabila seorang remaja maut manakala empat lagi kanak-kanak dimasukkan ke hospital selepas dipercayai mengalami keracunan makanan akibat memakan tembikai.Kejadian dilaporkan berlaku di kampung Ghurkot, Chhattisgarh, India, pada petang Isnin. Menurut pihak berkuasa, kesemua mangsa sebelum itu baru tiba di rumah bapa saudara sebelah ibu mereka untuk menghadiri majlis perkahwinan.Sekitar tengah hari, mereka dikatakan menikmati tembikai bersama beberapa makanan lain yang disediakan di rumah berkenaan.Namun kira-kira dua jam kemudian, kelima-lima mangsa mula mengalami muntah, cirit-birit, sakit perut dan sesak nafas.Keadaan mereka yang semakin merosot mencetuskan panik dalam kalangan ahli keluarga sebelum semua mangsa dikejarkan ke hospital daerah untuk mendapatkan rawatan.Bagaimanapun salah seorang daripada mangsa yang dikenali sebagai Akhilesh Dheewar, 15, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku keracunan makanan, sekali gus mendorong pihak pentadbiran daerah melancarkan siasatan segera.Pegawai Daerah, Janmejay Mahobe berkata, pasukan daripada jabatan kesihatan dan pentadbiran telah dihantar ke kampung terbabit serta hospital bagi mengenal pasti punca kejadian.Menurutnya, sampel tembikai dan makanan lain yang dimakan kanak-kanak tersebut turut diambil untuk ujian makmal.Sementara itu, pakar bedah awam hospital daerah, Dr S Kujur berkata, empat lagi kanak-kanak kini berada dalam keadaan stabil namun masih dipantau rapi."Berdasarkan siasatan awal, kes ini dipercayai berpunca daripada keracunan makanan kerana mereka memakan tembikai dan beberapa makanan lain. Sampel sudah dihantar untuk pemeriksaan lanjut," katanya. -Agensi