suria

“Jangan jadikan saya inspirasi” - Scha Alyahya akui rumah tangga tidak selalu indah, ada ‘struggle’ tak ditunjuk

Scha (kanan) mengakui setiap rumah tangga ada pasang surutnya.

ENGGAN dilihat sebagai pasangan sempurna, pelakon dan pengacara Scha Alyahya mengakui dia dan suami iaitu Awal Ashaari juga melalui pelbagai cabaran dalam melayari alam rumah tangga. 

Meskipun sering menjadi inspirasi ramai di media sosial, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, berkata segala perkongsian yang dipaparkan kepada umum hanyalah sisi positif kehidupan mereka. 

"Jangan jadikan saya sebagai inspirasi sebab saya pun rapuh. Alhamdulillah kalau itu yang kami potray (kebahagiaan). 

"Tapi apa yang anda nampak indah-indah di media sosial itu hanyalah surface. Sebenarnya kami sama saja dengan keluarga lain, kami masih ada struggle sendiri yang tidak dikongsikan kepada umum. 

Scha (kanan) dan Awal tidak berkongsi semua hal rumah tangga di media sosial.

"Apa yang saya dan Awal buat hanya mahu tunjukkan sisi positif. Tak mahulah terlalu berkongsi benda yang tak sepatutnya," katanya kepada mStar. 

Dalam pada itu, Scha berkata hubungan yang dibina hampir 15 tahun bersama Awal banyak mengajar mereka tentang toleransi dan proses memahami perubahan pasangan.

"Lagi setahun dah nak masuk 15 tahun perkahwinan kami. Itu sebab kapsyen saya cakap 'still fighting'. 

"Tak ada pun yang indah sentiasa, semuanya ada turun naiknya. Bila dah lama dengan pasangan kita rasa macam dah kenal mereka sepenuhnya tetapi sebenarnya tidak. 

ARTIKEL BERKAITAN: Awal Ashaari, Scha Alyahya masih teringin tambah anak, serah kepada rezeki

ARTIKEL BERKAITAN: Anak perempuan makin besar, Scha Alyahya tidak ambil mudah soal batas pergaulan

"Setiap hari, setiap tahun kita berubah. Jadi bila berubah itu kita nak kena biasakan diri dengan perubahan itu," ujarnya.  

Menurut pelakon drama Awan Dania ini lagi, komunikasi yang baik bersama pasangan menjadi antara kunci utama dalam memastikan hubungan kekal harmoni dan saling memahami. 

"Bagi saya tiada apa yang mudah, kena banyak memahami pasangan. Kalau tak faham, kenalah tanya pasangan. 

"Saya tak suka orang yang ada masalah tapi tak nak cakap... dengan saya kena berterus terang. 

"Bagi saya kalau pasangan tidak meluahkan, lagilah saya akan berfikiran yang bukan-bukan," katanya.

Keluarga bahagia Scha dan Awal (kanan) sering menjadi inspirasi kepada orang ramai.

Pada 4 Mei lalu, Scha Alyahya dan Awal Ashaari meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14.

Sempena detik istimewa itu, Awal menitipkan ucapan menyentuh hati selain meluahkan penghargaan dan rasa cintanya terhadap Scha sepanjang mereka menempuh kehidupan sebagai suami isteri.

Untuk rekod, Scha dan Awal mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012. 

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana, 12, dan Lyla Amina yang kini berusia lima tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain