suria

Tak payah bercuti jauh-jauh... Wanita kongsi 5 ‘spot’ menarik di Pattaya, syurga buat ‘food hunter’

Pattaya merupakan lokasi menarik untuk bercuti di Thailand.

SEJAK krisis minyak dan konflik global, ramai tidak berani merancang percutian ke luar negara disebabkan tiket penerbangan dikatakan lebih mahal selain bimbang risiko tersadai di negara orang.

Disebabkan itu ramai lebih memberi tumpuan kepada destinasi yang lebih dekat kerana ia praktikal selain tidak membebankan bajet.

Pilihan sebegini bukan sahaja menjimatkan masa, malah memudahkan pergerakan tanpa perlu berdepan perjalanan yang terlalu panjang.

Seperti wanita ini, dia memilih Pattaya, Thailand sebagai destinasi percutian singkat yang disifatkan sebagai lokasi sesuai bagi mereka yang mahukan percutian ringkas tanpa perancangan rumit.

Menurut Wan Azfaroza Wan Athmar, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa U-Tapao hanya mengambil masa dua jam.

Bagi yang mungkin tiada idea untuk bercuti ke mana, Wan Azfaroza turut menyenaraikan lima destinasi dan aktiviti menarik boleh dilakukan sepanjang di Pattaya.

Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan jika bercuti ke Pattaya.

1. Pilih suasana ikut 'mood': Chonburi atau Jomtien

Bagi yang gemarkan suasana meriah, kawasan Chonburi menawarkan deretan restoran, pusat beli-belah serta kehidupan malam aktif.

Sebaliknya, Jomtien pula lebih santai dengan pantai panjang dan suasana tenang, sesuai untuk percutian keluarga atau rehatkan minda.

2. 'Escape' ke pulau untuk rehatkan minda dan segarkan jiwa: Koh Larn (Coral Island)

Pulau ini terletak tidak jauh dari tanah besar dan hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit perjalanan bot dari Bali Hai Pier.

Air laut yang jernih kebiruan serta aktiviti seperti snorkeling dan sukan air jet ski atau parasailing menjadikannya lokasi ideal untuk lawatan sehari.

Kapal terbang menjadi tarikan pengunjung yang datang ke Runway Market Pattaya.

3. Syurga 'street food' unik: Runway Market Pattaya

Terletak di tengah kawasan Chonburi, lokasi ini menawarkan pengalaman pasar malam yang berbeza daripada kebiasaan dengan kapal terbang sebenar sebagai tarikan utama.

Pengunjung boleh 'food hunting' pelbagai juadah tempatan dan antarabangsa, termasuk hidangan eksotik seperti buaya panggang. 

Suasana sentiasa meriah dengan lampu warna-warni serta persembahan langsung yang menghidupkan kawasan ini.

Akses ke sini juga mudah sama ada berjalan kaki atau menaiki lori penumpang dengan tambang sekitar 10 baht.

Meliá Pattaya Hotel merupakan tempat penginapan dekat dengan tarikan utama Pattaya.

4. Penginapan strategik dan selesa

Antara pilihan yang menjadi tumpuan ialah Meliá Pattaya Hotel yang terletak berhampiran pelbagai tarikan utama.

Lokasinya juga memudahkan akses ke pusat beli-belah popular seperti Terminal 21 Pattaya yang terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki dari hotel berkenaan.

5. Terapi beli-belah dalam satu lokasi

Pusat beli-belah di Pattaya menawarkan pengalaman beli-belah yang pelbagai, daripada barangan premium hingga pilihan mampu milik.

Selain itu, food court di pusat beli-belah turut menjadi tarikan dengan pilihan makanan tempatan pada harga berpatutan.

Secara keseluruhannya, Pattaya dilihat sebagai antara destinasi yang memenuhi keperluan percutian moden iaitu ringkas, berbaloi dan tetap menawarkan pengalaman yang pelbagai. 

Tanpa perlu perjalanan jauh, pelancong masih boleh menikmati gabungan suasana pantai, aktiviti santai serta kemudahan bandar dalam satu lokasi.

Artikel Lain