suria

Penerbangan batal saat akhir boleh jejaskan rancangan... Kena tahu hak penumpang, tindakan boleh diambil

Penerbangan yang dibatalkan boleh menjejaskan rancangan penumpang. -Gambar hiasan AI

PEMBATALAN penerbangan sememangnya boleh memberikan tekanan, apatah lagi jika melibatkan urusan penting atau kecemasan.

Situasi ini bukan perkara asing, malah ada penumpang yang hanya dimaklumkan pada saat akhir sama ada bagi penerbangan domestik mahupun antarabangsa. 

Sebagai penumpang, mengetahui hak sendiri adalah langkah penting untuk mengelakkan kerugian serta memastikan urusan perjalanan dapat diurus dengan lebih baik walaupun berdepan situasi tidak dijangka.

Menerusi perkongsian oleh pakar kewangan, Faiz Azmi atau Financial Faiz, dia menjelaskan perkara penting yang perlu dilakukan penumpang sekiranya penerbangan dibatalkan.

Berikut panduan yang boleh dijadikan rujukan:

1. Dapatkan Slip Gangguan Penerbangan (Flight Disruption Certificate)

Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan slip daripada pihak khidmat pelanggan syarikat penerbangan.

Jika anda berada di lapangan terbang, terus ke kaunter untuk memohon dokumen tersebut, terutama jika keadaan mendesak.

Slip ini penting kerana ia digunakan untuk tuntutan insurans perjalanan, bukti rasmi sekiranya lewat atau tidak hadir kerja serta memudahkan urusan bayaran balik hotel.

Pastikan anda tidak menangguhkan permohonan kerana ia boleh melambatkan urusan seterusnya.

2. Muat naik dokumen dan semak penerbangan alternatif

Selepas memperoleh slip, muat naik dokumen berkenaan ke platform OTA (Online Travel Agency) sekiranya tiket dibeli melalui pihak ketiga seperti Trip.com atau Agoda.

Dalam masa sama, semak sama ada terdapat penerbangan lain pada hari sama, minta pihak syarikat penerbangan mengatur penerbangan baharu dan mohon keutamaan untuk penempatan semula.

Penumpang tidak sepatutnya dikenakan bayaran tambahan kerana pembatalan bukan berpunca daripada mereka.

Penumpang berhak mendapatkan pampasan semula apabila penerbangan mereka dibatalkan. -Gambar hiasan

3. Berhak mohon bayaran balik dalam jumlah penuh

Sekiranya tiada penerbangan alternatif dalam masa terdekat, anda boleh memilih sama ada untuk dijadualkan semula pada hari berikutnya atau menuntut bayaran balik penuh (full refund).

Menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), penumpang layak menerima pemulangan 100 peratus kos tiket atau ditawarkan laluan alternatif ke destinasi akhir dengan pengangkutan setara.

Namun, ia tertakluk kepada syarat seperti penerbangan dibatalkan atau mengalami kelewatan melebihi tiga jam.

4. Tuntut kemudahan asas jika terkandas

Selain bayaran balik, penumpang juga berhak menerima kemudahan tertentu bergantung kepada tempoh kelewatan.

Jika lewat dua jam atau lebih

a. Makanan

b. Kemudahan panggilan telefon

c. Akses internet

Jika lewat lima jam atau lebih

a. Makanan

b. Panggilan telefon

c. Akses internet

d. Penginapan hotel (jika perlu)

e. Pengangkutan antara hotel dan lapangan terbang

Hak ini terpakai walaupun tiket dibeli melalui ejen pihak ketiga.

Walaupun syarikat penerbangan berusaha memastikan perjalanan lancar, terdapat beberapa faktor luar jangka yang boleh menyebabkan penerbangan dibatalkan, antaranya:

Cuaca buruk

Masalah teknikal pesawat

Kesesakan trafik udara

Kekurangan kru penerbangan

Prosedur keselamatan yang mengambil masa lama

Arahan pihak berkuasa

Penutupan ruang udara akibat konflik atau peperangan

Artikel Lain