suria

Kenapa minyak masak guna kilogram, petrol pula liter? Rupanya ada penjelasan saintifik di sebaliknya

Terdapat penjelasan saintifik mengenai perbezaan unit pengiraan untuk minyak masak dan petrol. -Gambar hiasan AI

DALAM kehidupan seharian, pengguna sering berurusan dengan pelbagai jenis bahan dan produk yang diukur menggunakan unit berbeza seperti kilogram (kg), liter (L) atau unit tertentu mengikut keperluan.

Namun timbul persoalan dalam kalangan netizen mengenai sebab minyak masak dijual menggunakan kilogram, manakala petrol pula diukur dalam liter walaupun kedua-duanya merupakan cecair.

Ramai beranggapan penggunaan unit berbeza itu mengelirukan kerana kedua-duanya dilihat sama dari segi bentuk fizikal, namun hakikatnya terdapat penjelasan saintifik di sebalik kaedah pengukuran tersebut.

Pakar dalam bidang Dinamik Bendalir Pengiraan (Computational Fluid Dynamics), Aid Fawzal tampil memberi penjelasan menerusi platform Threads susulan ramai yang mempersoalkan isu berkenaan.

Menurut Aid, minyak masak dijual mengikut kilogram kerana sifatnya lebih stabil terhadap suhu persekitaran atau ambient temperature.

Katanya, sama ada dibeli ketika cuaca panas atau sejuk, perubahan berat minyak masak adalah sangat kecil dan hampir tidak ketara.

Di Malaysia, pengguna kebiasaannya membeli minyak masak mengikut kilogram bagi kegunaan harian, manakala untuk kegunaan komersial pula ia lazimnya dijual dalam liter.

Berbeza dengan petrol dan diesel yang lebih mudah mengalami perubahan isipadu apabila suhu persekitaran berubah.

Berdasarkan Coefficient of Thermal Expansion, apabila suhu meningkat sebanyak 10 darjah celsius, isipadu petrol akan mengembang sekitar 0.95 peratus, diesel sebanyak 0.82 peratus dan minyak masak sekitar 0.64 peratus.

Keadaan itu menunjukkan minyak masak mempunyai kadar pengembangan yang lebih rendah berbanding petrol dan diesel, sekali gus menjadikannya lebih stabil terhadap perubahan suhu.

Atas sebab itu, penggunaan kilogram lebih sesuai untuk minyak masak kerana ukuran berdasarkan berat lebih konsisten.

Manakala petrol dan diesel pula lebih praktikal diukur menggunakan liter kerana melibatkan perubahan isipadu yang lebih ketara.

Artikel Lain