suria

Kajian buktikan kebaikan tidur mengiring, otak mampu ‘cuci’ toksin sehingga 121 peratus lebih efisien

Di dalam Islam sendiri, tidur mengiring ke sebelah kanan adalah sunnah dan merupakan posisi paling dianjurkan. -Gambar hiasan AI

POSISI tidur bukan sekadar soal keselesaan tetapi ia turut mempengaruhi cara otak ‘membersihkan’ dirinya ketika berehat.

Doktor perubatan, Dr Syid Ayob Mustafa Al-Qudri berkata, otak manusia mempunyai sistem khas dikenali sebagai glymphatic system, berfungsi membuang sisa toksik serta bahan tidak diperlukan yang terkumpul sepanjang waktu berjaga.

Menurut Dr Syid, otak sebenarnya sedang menyingkirkan sisa toksik seperti beta amyloid ketika tidur namun proses itu lebih efektif jika seseorang tidur secara mengiring berbanding meniarap atau menelentang.

Mengulas satu kajian, beliau menjelaskan otak didapati membuang toksin sehingga 121 peratus lebih efisien apabila tidur mengiring berbanding tidur meniarap.

Jika tidur meniarap, sisa toksik boleh kekal dalam otak sehingga dua kali lebih lama.

Katanya, aliran cerebrospinal fluid (CSF) iaitu cecair yang membantu membersihkan otak juga bergerak lebih lancar ketika tidur mengiring, sekali gus menjadikan proses pembersihan lebih optimum.

Jika sisa toksik tidak dibersihkan dengan baik, ia boleh menyebabkan memori lemah, sukar fokus dan otak cepat penat.

Justeru, individu yang sering bangun pagi dalam keadaan lemau walaupun sudah tidur lama disarankan untuk mengelakkan posisi meniarap dan cuba tidur secara mengiring.

Antara tip yang boleh diamalkan ialah memeluk bantal, meletakkan bantal di belakang badan serta meletakkan bantal kecil di antara lutut supaya badan lebih stabil.

Di dalam Islam sendiri, tidur mengiring ke sebelah kanan adalah sunnah dan merupakan posisi paling dianjurkan.

Rasulullah SAW bersabda; "Berbaringlah di atas lambungmu sebelah kanan." (HR. Bukhari dan Muslim).

Posisi ini disarankan dengan menghadap ke arah kiblat dan amalan ini memiliki pelbagai hikmah dari sudut kerohanian dan kesihatan termasuk sesuai dengan fitrah organ manusia.

Ini kerana jantung manusia berada di sebelah kiri, jadi tidur mngiring ke kanan dapat mengurangkan tekanan pada jantung dan melancarkan alirah darah.

Tidur dalam posisi ini juga membantu perut berfungsi dengan lebih lancar dan mengurangkan masalah refluks asid.

Artikel Lain