SEORANG wanita terkejut apabila rambutnya yang dipotong di sebuah salon diambil tanpa kebenaran untuk tujuan kitar semula.Dakwa wanita itu, pekerja kedai terlebih dahulu mengikat rambutnya sebelum dipotong dipercayai untuk digunakan sebagai sambungan rambut atau hair extension pelanggan lain. Situasi itu membuatkan dia tergamam malah timbul persoalan mengenai hukum rambut yang sudah dipotong sama ada ia masih dikira sebagai aurat atau sebaliknya."Saya blur sebab terkejut dia nak guna rambut saya untuk extend rambut orang lain. Sudah la tak minta izin. Boleh ke macam tu?"Sudah cabut daripada kepala bukan kategori aurat pun kan? Takut la bila fikir rambut sendiri bersambung dekat kepala orang lain," luahnya.Dalam isu berkaitan, Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini pernah memberikan penjelasan bahawa rambut wanita ajnabi tetap dikira sebagai aurat walaupun telah terpisah daripada kepala.Ini bermaksud, rambut tersebut haram disentuh oleh lelaki bukan mahram dan wajib disembunyikan daripada pandangan mereka.Larangan itu bersandarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar RA:Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik baginya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram). (Riwayat al-Tabrani, Mu’jam al-Kabir)Ulama turut menghuraikan setiap anggota wanita ajnabi yang haram dilihat, maka tidak boleh disentuh termasuk anggota yang telah terpisah seperti rambut dan kuku.Menurut Syeikh Zainuddin al-Malibari, larangan itu meliputi keseluruhan anggota wanita, bahkan anggota yang terpisah juga perlu dijaga serta tidak didedahkan kepada lelaki ajnabi.Justeru, jelas rambut wanita yang telah dipotong masih tertakluk kepada hukum aurat, sekali gus tidak boleh disentuh atau didedahkan sewenang-wenangnya.Dalam konteks ini, tindakan mengambil dan menggunakan rambut tanpa izin bukan sahaja menimbulkan persoalan dari sudut etika, malah tidak selari dengan tuntutan syarak.