suria

Ramai ‘spam’ kad jemputan kahwin dalam grup WhatsApp, kadangkala tak kenal pun tuan kenduri... Wajib hadir atau boleh abaikan?

Penggunaan kad jemputan secara digital lebih memudahkan urusan. -Gambar hiasan AI

PERALIHAN kepada teknologi digital menyaksikan semakin ramai pasangan pengantin memilih untuk menghantar kad undangan secara dalam talian menerusi medium komunikasi seperti WhatsApp. 

Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah lebih praktikal kerana pautan lokasi yang disertakan boleh terus diakses menerusi aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps.

Namun, timbul persoalan adakah jemputan yang dihantar secara umum dalam kumpulan WhatsApp wajib dihadiri sedangkan hukum menghadiri walimatul urus (kenduri kahwin) adalah wajib (fardu ain) menurut pandangan dalam Mazhab Syafii.

Pendakwah bebas Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai PU Salman tampil memberikan pencerahan menerusi satu perkongsian video di TikTok [Tonton Video].

"Kadang-kadang kita dapat jemputan (kenduri) dalam grup WhatsApp... ia tidak peribadi (khusus) atau terus kepada kita. Wajib pergi ke? Ramai ahli grup WhatsApp hantar kad perkahwinan, jadi macam mana tu?" soalnya.

Menurut PU Salman, dalam mazhab Syafii dan Hambali, terdapat syarat tertentu yang menjadikan sesuatu jemputan itu wajib dipenuhi, iaitu apabila undangan tersebut dibuat secara khusus kepada individu.

"Imam Nawawi dalam kitab Raudhatuth Talibin menyatakan bahawa antara syarat-syarat wajib memenuhi undangan perkahwinan ialah hendaklah tuan rumah mengkhususkan jemputan kepada individu yang dijemput.

"Sama ada dia jemput sendiri atau mewakilkan kepada orang lain. Kalau tuan rumah jemput secara umum, tidak wajib. Malahan, tidak juga hukumnya sunat.

"Apa dalilnya, Nabi SAW sebut dalam hadis sahih, apabila salah seorang daripada kamu dijemput ke undangan perkahwinan maka hendaklah kamu pergi," jelasnya lagi.

Seiring dengan itu, penjelasan daripada portal Jabatan Mufti Selangor turut menyatakan mengenai memenuhi jemputan walimah adalah wajib selagi tiada keuzuran dan memenuhi syarat yang ditetapkan syarak.

Sekiranya terdapat keuzuran yang menghalang kehadiran, maka individu tersebut dimaafkan. 

Dalam keadaan itu, adalah digalakkan untuk memohon maaf kepada tuan rumah serta mendoakan kesejahteraan dan keberkatan buat pasangan pengantin.

Namun, jemputan yang disampaikan secara umum melalui kumpulan WhatsApp atau hantaran di media sosial tanpa pengkhususan kepada individu tertentu tidak dianggap sebagai tuntutan wajib untuk dipenuhi.

Artikel Lain