Mika Salo dilaporkan terpaksa menerima 28 jahitan selepas diserang oleh seorang penunggang moped (skuter ringan) di Bangkok. -Foto Agensi
BEKAS pemandu Formula 1 dari Finland, Mika Salo, 59, dimasukkan ke hospital di Bangkok selepas mengalami kecederaan serius pada kaki dalam kejadian dipercayai serangan pisau oleh seorang penunggang moped (skuter ringan).Menurut laporan media Finland, Ilta-Sanomat, kejadian berlaku pada petang Selasa lalu berhampiran hotel penginapannya di Bangkok. Salo berkata, ketika dia sedang melintasi lintasan pejalan kaki, sebuah skuter tiba-tiba melalui berhampirannya. Pada mulanya dia hanya merasakan sedikit hentakan dan tidak mengesyaki apa-apa sebelum meneruskan perjalanan seperti biasa.Namun selepas berjalan kira-kira 50 meter ke hadapan, seorang pejalan kaki menegurnya selepas melihat darah mengalir dari kakinya."Saya melihat ke bawah dan kasut saya sudah dipenuhi darah," katanya.Susulan itu, Salo segera menaiki teksi ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.Pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami luka terbuka yang dalam sehingga menyebabkan otot koyak, menyebabkannya terpaksa menerima 28 jahitan.Apa yang lebih membimbangkan, ketika Salo kembali ke hospital keesokan harinya untuk membersihkan luka, kakitangan hospital memaklumkan terdapat beberapa mangsa lain menerima kecederaan hampir sama pada malam kejadian.Situasi itu mencetuskan kebimbangan bahawa insiden berkenaan mungkin sebahagian daripada siri serangan yang lebih besar.Bagaimanapun, keadaan Salo kini dilaporkan stabil dan sedang menjalani proses pemulihan. -Agensi