SEGELINTIR umat Islam di Malaysia masih keliru tentang waktu sebenar untuk mula berdoa pada Hari Arafah.Ada yang tertanya-tanya sama ada mereka perlu mengikuti waktu wukuf di Arab Saudi atau mengikut tarikh dan waktu di Malaysia sendiri. Kekeliruan ini sering timbul setiap kali menjelang 9 Zulhijjah kerana perbezaan zon masa serta penetapan awal Zulhijjah antara negara.Bagi tahun ini, 9 Zulhijjah jatuh pada hari Selasa, sehari sebelum umat Islam di Malaysia meraikan Hari Raya Aidiladha pada Rabu.Berkenaan waktu yang dimustajabkan berdoa, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri, menjelaskan sekiranya seseorang itu berada di Malaysia, maka dia boleh berdoa bermula daripada masuknya 9 Zulhijjah mengikut waktu tempatan."Sekiranya individu itu berada di Arab Saudi, maka dia perlu mengikut waktu wukuf di Arafah berdasarkan waktu tempatan di sana. "Ia bermula selepas tergelincirnya matahari pada waktu Zohor sehinggalah terbenamnya matahari pada waktu Maghrib," jelasnya.Maka, waktu berdoa bagi mereka yang tidak melakukan haji dan berada di negara lain (selain Arab Saudi) adalah bermula daripada masuknya 9 Zulhijjah. Bagi mereka yang menunaikan haji, waktunya pula antara masuknya tergelincirnya matahari waktu Zohor dan terbenamnya matahari waktu Maghrib. Dalam pada itu, akaun Facebook dakwah, Jentik Hati menganggarkan waktu mustajab untuk berdoa mengikut waktu Malaysia adalah sekitar 5.18 petang sehingga 11.57 malam, Selasa.Selain doa Hari Arafah, umat Islam juga boleh mengambil peluang untuk berpuasa pada hari yang sama.