suria

Aidiladha makin dekat, ini panduan pilih haiwan korban terbaik menurut Islam... Warna pun antara kriteria penting

Ibadah korban dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat dan rezeki dikurniakan Allah SWT. -Gambar hiasan AI

KIRA-KIRA seminggu sahaja lagi, umat Islam di seluruh negara bakal menyambut ketibaan Hari Raya Aidiladha yang penuh bermakna.

Sudah pasti ramai antara kita akan mengambil peluang melaksanakan ibadah korban sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat dan rezeki dikurniakan Allah SWT, di samping berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

Menyentuh mengenai ibadah korban, selain perlu memahami tentang syarat, rukun serta pembahagian daging korban, kita juga perlu menitikberatkan kriteria pemilihan haiwan korban.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaga aib, perhati kecacatan... Tak sah ibadah korban jika haiwan disembelih ada 9 ciri ini

Memetik perkongsian laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kriteria yang utama adalah dari sudut sempurna fizikalnya mahupun keutamaan warnanya.

Terdapat beberapa riwayat berkaitan permilihan warna haiwan korban.

Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:

"Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibasy (kambing biri-biri) putih kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut". [Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)]

Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim pulamenyatakan pemilihan haiwan korban mengikut  keutamaan warna"

"Fuqaha mazhab Syafie menyatakan sunat memilih haiwan korban berdasarkan warna yang terbaik dan mereka bersepakat tentang perkara itu. Menurut ulama kami bahawa warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu iaitu tidak putih bersih, kemudian warna al-balqa' (sebahagian warna putih dan sebahagian warna hitam atau bertompok), kemudian warna hitam.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Darah binatang korban yang kulitnya berwarna kelabu lebih aku sukai berbanding dua ekor yang berwarna hitam" [Riwayat Ahmad]

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, warna yang paling afdal bagi haiwan sembelihan korban ialah putih, kuning, kelabu, merah, tompok putih hitam, dan hitam.

Kesimpulannya, memasang niat untuk berkorban dengan memilih haiwan terbaik sekali gus dalam masa yang sama menuruti sunnah Rasulullah SAW, merupakan antara amalan wajar diberi perhatian oleh setiap Muslim.

Artikel Lain