Operasi menyelamat kesemua pelancong yang terkandas di Gulmarg Gondola berlangsung sekitar tujuh jam. -Foto media sosial
HAMPIR 300 pelancong berdepan dengan detik cemas apabila mereka terkandas selepas perkhidmatan kereta kabel terkenal di Gulmarg, Kashmir mengalami kerosakan teknikal secara tiba-tiba pada Ahad.Insiden yang berlaku di Gulmarg Gondola itu mendorong operasi menyelamat besar-besaran membabitkan Tentera Darat India, Polis Jammu dan Kashmir, pasukan separa tentera serta anggota Pertahanan Awam. Menurut pihak berkuasa, gangguan teknikal berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari ketika operasi fasa pertama kereta kabel sedang berjalan di pusat peranginan terkenal di utara Kashmir itu.Fasa pertama perkhidmatan gondola itu menghubungkan kawasan Gulmarg ke Kangdori, manakala fasa kedua pula membawa pelancong ke Apharwat Peak yang terletak pada ketinggian hampir 4,000 meter dari aras laut.Rakaman dari lokasi kejadian memaparkan detik cemas apabila ramai pelancong dilihat tergantung di udara di dalam kabin kereta kabel, sementara pasukan penyelamat bertungkus-lumus membawa mereka turun dengan selamat.Timbalan Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Surinder Choudhary, dilaporkan turut berada di lokasi bagi memantau operasi menyelamat.Operasi menyelamat, yang bermula sekitar pukul 1 tengah hari, berakhir pada pukul 8 malam.Sementara itu, Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, memuji usaha pasukan penyelamat selepas semua pelancong berjaya dipindahkan dengan selamat.Setakat ini, punca sebenar kerosakan teknikal tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.Gulmarg Gondola merupakan antara tarikan pelancongan paling popular di Kashmir dan dianggap sebagai salah satu sistem kereta kabel tertinggi di Asia.Ia terkenal dengan pemandangan panorama pergunungan Himalaya yang dilitupi salji pada ketinggian melebihi 13,000 kaki dari aras laut. -Agensi