SEORANG wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya dijumpai di dalam guni yang hanyut di sungai pada Isnin.Mangsa dikenali sebagai Aminah, 64, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu selepas dipercayai keluar ke kebun kopi miliknya. Mayat mangsa ditemukan sekitar pukul 3 petang di kawasan sungai di Ulu Musi, Empat Lawang, Sumatera Selatan, Indonesia.Ketua Polis Ulu Musi, Arsan Fajri mengesahkan penemuan mayat mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang oleh keluarganya.Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat berada di kebun kopi di kawasan Talang Ngongop, Desa Tanjung Agung, Ulu Musi.Siasatan awal mendapati seorang saksi memaklumkan bahawa mangsa sempat bertemunya di kebun pada hari kehilangannya.Susulan laporan kehilangan diterima, polis bersama penduduk kampung menjalankan operasi pencarian di kawasan kebun milik mangsa namun gagal menemukannya.Dalam pencarian itu, penduduk menjumpai beberapa barangan dipercayai milik mangsa termasuk bakul berisi buah lada, parang dan botol air minuman berhampiran pondok kebun.Malah, sebuah telefon bimbit tanpa kad SIM turut ditemukan dalam keadaan bersih dan tidak diselaputi lumpur sebelum dirampas polis untuk siasatan lanjut.Penduduk turut bertindak mengeringkan kolam air berhampiran kebun lada tersebut namun mangsa tetap gagal ditemukan.Bagaimanapun, misteri kehilangan wanita itu akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemukan di dalam guni yang hanyut di sungai.Polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian mangsa serta mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu. -Agensi