suria

Anak dan menantu sering bergaduh, bapa pula dipukul guna batang besi sampai hilang nyawa

Rakaman CCTV menunjukkan mangsa dipukul oleh tiga individu menggunakan batang besi.

 

KONFLIK keluarga yang berlarutan selama beberapa bulan menjadi punca seorang lelaki maut selepas dipukul menggunakan batang besi dan kayu.

Kejadian dilaporkan berlaku di Ahmedabad, India.

Berdasarkan laporan, mangsa dikenali sebagai Natubhai Parmar, 52, diserang sekumpulan individu di bawah sebuah jambatan pada 2 Mei lalu.

Serangan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran turut merakam detik serangan tersebut sekali gus membantu siasatan pihaknya.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu mempunyai kaitan dengan pertikaian keluarga yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Tiga suspek dikenali sebagai Hasmukh Vaghela, Kanti Vana dan Bhavesh Parmar yang juga saudara kepada menantu perempuan mangsa berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri ke Rajasthan.

Seorang lagi suspek dikenali sebagai Ketan masih diburu polis.

Difahamkan, anak lelaki mangsa, Kaushik Parmar mendirikan rumah tangga dengan isterinya atas dasar cinta kira-kira lima tahun lalu.

Namun hubungan pasangan itu dikatakan mula bergolak selepas isterinya mengalami keguguran sehingga menyebabkan pertengkaran kerap berlaku sejak enam bulan lalu.

Wanita terbabit juga dilaporkan tinggal di rumah ibu bapanya sepanjang tempoh berkenaan.

Ketegangan antara kedua-dua keluarga dikatakan semakin memuncak selepas Natubhai dan anaknya berkunjung ke rumah keluarga mentua sebelum tercetus satu lagi pertengkaran pada 28 April lalu.

Polis percaya Hasmukh yang merupakan bapa saudara kepada isteri Kaushik merancang pembunuhan tersebut susulan konflik berkenaan.

Pada malam kejadian, suspek dipercayai menahan Natubhai berhampiran jambatan sebelum menyerangnya hingga maut dan melarikan diri menaiki motosikal.

Operasi memburu suspek dijalankan secara bersama oleh unit jenayah dan Balai Polis Anandnagar. -Agensi

Artikel Lain