suria

Dijempul ajal sebelum solat... Pelajar Tingkatan 4 maut kena renjatan elektrik ketika ambil wuduk di sekolah

Proses bedah siasat lazimnya dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kematian. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar Tingkatan Empat maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Bahagian Mukah, malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos berkata, pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8 malam.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk.

Ujar beliau, mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

"Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun yang juga pelajar Tingkatan Tiga pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu, untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rahim berkata, seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi kejadian bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Susulan itu, ujarnya, pihak Sarawak Energy telah dimaklum supaya memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.

Beliau menambah kes berkenaan masih dalam siasatan, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut.

Artikel Lain