Tangkap layar (screenshot) video memaparkan lokasi kejadian seorang remaja dikelar dan ditetak. -Foto media sosial
PERSELISIHAN dipercayai berpunca daripada hutang kerja membaiki paip membawa kepada kejadian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditetak dam dikelar di sebuah rumah di Nosoob, Penampang, pada Khamis.Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher dan kepala selepas diserang seorang lelaki berusia 29 tahun. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk bertemu kakak iparnya bagi menuntut bayaran tertunggak berkaitan kerja pembaikan paip.Menurutnya, ketika kejadian mangsa berada di rumah sambil menjaga anak saudaranya kerana kakak iparnya keluar bekerja."Mangsa ketika itu sedang menyediakan makanan di dapur dan memegang sebilah pisau."Suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menimbulkan kemarahannya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Sammy berkata, suspek kemudian bertindak merampas pisau tersebut sebelum mengelar leher mangsa dan menolaknya ke dinding bilik air sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dan leher.Selepas kejadian, suspek melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis kira-kira pukul 5.50 petang di kawasan berhampiran Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar."Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah."Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.Mangsa yang merupakan warga asing kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut kerana boleh mengganggu siasatan.Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Penampang, Asisten Superintendan Hairie Awang Akub di talian 016-8032849.