SEORANG penyanyi wanita mendakwa hidupnya kini dibelenggu ketakutan selepas diugut sindiket pemberi pinjaman wang (ah long) kerana gagal melunaskan bayaran pinjaman bersama faedah tinggi.Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yee, 39, berkata dia pada mulanya menerima mesej daripada individu yang disangkanya pemberi pinjaman wang berlesen pada April lalu. Menurut Yee, dia ketika itu merancang untuk merakam album sendiri selain mahu memulakan perniagaan, sebelum membuat keputusan meminjam kira-kira RM45,000.Bagaimanapun, dia mendakwa hanya menerima RM17,800 daripada jumlah yang dijanjikan.Yee dalam sidang media bersama Michael Chong."Saya mula mengesyaki ditipu, namun ketika itu saya benar-benar memerlukan wang. Tambahan pula, semua maklumat peribadi saya sudah diberikan kepada mereka," katanya.Yee berkata demikian dalam sidang akhbar yang dianjurkan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, di Kuala Lumpur pada Khamis.Menurutnya, awal Mei, dia mula menerima tuntutan bayaran balik pinjaman bersama kadar faedah yang tidak munasabah.Walaupun mendakwa sudah membuat bayaran tepat pada waktunya, Yee berkata dia tetap terus diganggu termasuk diugut.Menurut Yee, dia kemudiannya membuat laporan polis sejurus menerima ugutan.ARTIKEL BERKAITAN: Merana diganggu ah long gara-gara nombor telefon disalah guna, rakan sepejabat buat pinjaman pula lesap lepas ‘resign’!Sementara itu, Chong mendakwa mangsa sudah membayar semula sebanyak RM20,300 meskipun hanya menerima RM17,800 daripada sindiket terbabit."Namun, scammer itu masih menuntut mangsa membayar RM49,400 lagi kononnya untuk menyelesaikan keseluruhan pinjaman," katanya.Tambah Chong, keadaan menjadi lebih serius apabila Yee mula menerima ugutan termasuk ancaman culik dan membakar rumahnya jika gagal membuat bayaran."Mereka juga memuat naik hantaran di media sosial untuk memalukan mangsa dan keluarganya."Ada ugutan untuk menculik selain ancaman membakar rumah," katanya lagi.Dalam pada itu, Chong berkata Yee tampil membuat aduan bagi membersihkan namanya selepas dituduh sebagai penipu menerusi hantaran dimuat naik sindiket terbabit."Dia hanya mahu mencari rezeki secara jujur. Dia cuma tersilap apabila berurusan dengan scammer seperti ini," katanya.Mengulas lanjut, Chong berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa minggu lalu berhubung peningkatan kes melibatkan sindiket pinjaman wang yang memperdaya mangsa.Beliau berharap tindakan tegas dapat diambil pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan berkenaan. -The Star