suria

Punya takut dituduh, suspek kes remaja hilang telan kunci ‘locker’ di balai polis... Akhirnya kena makan 10 kg pisang!

Rawatan yang pantas adalah perlu bagi memastikan keadaan pesakit stabil serta mengelakkan sebarang komplikasi. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki yang menjadi suspek kes kehilangan remaja mencetuskan suasana panik di sebuah balai polis apabila bertindak menelan kunci lokar ketika soal siasat sedang dijalankan.

Menurut laporan media tempatan, insiden luar biasa itu itu berlaku di Balai Polis Madanayakanahalli, dekat Bengaluru.

Suspek yang dikenali sebagai Karthik dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari Gangondanahalli.

Difahamkan, ibu bapa remaja terbabit membuat laporan orang hilang pada 24 April lalu sebelum polis berjaya menjejaki lokasi suspek menerusi data menara telekomunikasi.

Menurut polis, lelaki itu dipercayai menelan kunci lokar ketika sesi soal siasat selepas diberi amaran bahawa dia mungkin berdepan pertuduhan.

Tindakannya itu mencetuskan kekecohan dalam balai polis sebelum dia segera dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.

Karthik kemudian dimasukkan ke hospital selama tiga hari di bawah kawalan polis.

Menurut sumber, doktor dan polis cuba memastikan kunci tersebut keluar secara semula jadi menerusi sistem pencernaan.

Bagi membantu proses itu, lelaki berkenaan dilaporkan diberikan hampir 10 kilogram pisang sepanjang tempoh rawatan.

Kunci lokar tersebut akhirnya berjaya dikeluarkan menerusi proses perkumuhan, kata pegawai.

Dalam pada itu, pegawai kanan polis difahamkan telah memberi amaran kepada kakitangan terlibat berhubung dakwaan kecuaian dalam mengendalikan situasi berkenaan.

Siasatan lanjut masih dijalankan. -Agensi

Artikel Lain