SEPASANG kekasih ditahan pada Rabu selepas dipercayai mencuri beberapa haiwan eksotik dari dua zoo berbeza dalam kejadian pada 1 Mei lalu.Kejadian itu terbongkar selepas pihak zoo memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan mencurigakan pasangan terbabit sehingga tular di media sosial. Menurut pihak pengurusan zoo, pasangan lelaki dan wanita itu datang sekitar pukul 10.40 pagi sambil membawa sebuah beg galas biru yang dipercayai mengandungi seekor monyet tupai.Disebabkan pengunjung tidak dibenarkan membawa haiwan masuk ke dalam zoo, pasangan tersebut meninggalkan monyet itu di kaunter tiket sebelum memasuki kawasan pameran.Bagaimanapun, rakaman CCTV menunjukkan mereka kemudian menukar pakaian kepada jaket hitam sebelum menuju ke bahagian haiwan eksotik.Kejadian berlaku di Bangkok, Thailand.Lelaki terbabit dipercayai membuka secara paksa kandang reptilia, manakala wanita itu mengambil seekor cicak buaya Cina dan salamander harimau sebelum menyembunyikannya di bawah pakaian.Pasangan itu kemudian bertindak melarikan diri bersama haiwan berkenaan dan mengambil semula monyet tupai sebelum meninggalkan lokasi.Lebih mengejutkan, sebuah zoo mini lain di Bangkok turut melaporkan kehilangan seekor monyet tupai pada hari sama, sekali gus menimbulkan syak bahawa kedua-dua kes mempunyai kaitan.Polis akhirnya berjaya mengesan dan menahan pasangan tersebut di sebuah bilik sewa di Don Mueang pada Rabu.Menurut laporan media tempatan, semua haiwan yang dicuri berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat.Kedua-dua suspek kini berdepan pertuduhan mencuri dengan merosakkan halangan keselamatan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda mengikut undang-undang Thailand. -Agensi