suria

Jangan bimbang jika anak ‘gerhana’ selepas dilahirkan, ini penjelasan tentang perubahan warna kulit bayi

Segelintir ibu kecewa apabila anak mereka kelihatan gelap selepas dilahirkan. -Gambar hiasan AI

BAGI pasangan yang pertama kali bergelar ibu bapa, mungkin banyak perkara boleh memberi kejutan kepada mereka.

Ini termasuklah menyesuaikan diri dengan suasana baharu dan memahami cara pengurusan bayi yang baru lahir.

Antara kebimbangan yang sering berlaku adalah perubahan kulit bayi yang kelihatan gelap selepas dilahirkan walaupun ibu bapa berkulit cerah.

Menurut Medical News Today, bayi yang baru dilahirkan secara umumnya mempunyai warna kulit yang berbeza-beza.

Jadi, bagi segelintir ibu yang sedih melihat bayi mereka berkulit gelap, janganlah risau tentang hal itu kerana ia boleh berubah seiring perkembangan usia.

Warna kulit bayi boleh berubah seiring peningkatan usia mereka. -Gambar hiasan AI

1. Merah gelap

Apabila bayi dilahirkan, kulit mereka masih nipis dan agak lutsinar. Keadaan ini menyebabkan salur darah dan sistem vaskular bayi kelihatan melalui kulit, lalu memberi tona merah gelap.

2. Kuning

Jaundis merupakan antara punca utama kulit bayi kelihatan kekuningan. Ia sangat biasa berlaku pada bayi baru lahir.

Ia berlaku apabila hati bayi masih belum cukup matang untuk memecahkan sel darah merah lama dengan sempurna. 

Apabila sel darah ini terurai, ia menghasilkan bahan berwarna kuning yang dipanggil bilirubin. 

Hati bayi yang masih berkembang memerlukan beberapa hari untuk berfungsi dengan baik bagi menyingkirkan bilirubin ini.

3. Biru

Tangan dan kaki kebiruan juga boleh berlaku dalam kalangan bayi yang baru lahir. 

Ini kerana sistem peredaran darah bayi masih belum berkembang sepenuhnya, menyebabkan aliran darah ke bahagian hujung tubuh seperti tangan dan kaki menjadi lebih perlahan.

Persoalannya, bila sebenarnya ibu bapa boleh mengetahui warna kulit sebenar bayi mereka?

Kajian pada tahun 2017 mendapati warna kulit bayi boleh berubah dengan ketara seiring pertumbuhan mereka.

Penyelidik turut mendapati warna kulit bayi menjadi lebih cerah dan kurang merah antara usia dua hingga 20 bulan. 

Namun begitu, kajian ini hanya melibatkan sampel kecil bayi.

Warna kulit bayi daripada pelbagai latar etnik juga boleh berubah secara berbeza, sama ada menjadi lebih gelap atau lebih cerah mengikut perkembangan usia.

Sehingga kini, masih terdapat kekangan kajian untuk menentukan dengan tepat bila warna kulit sebenar seseorang bayi akan diketahui. 

Jika ibu bapa mempunyai sebarang persoalan atau kebimbangan mengenai warna kulit bayi mereka, adalah disarankan untuk merujuk kepada pakar kesihatan.

Artikel Lain