PU Syed berharap Prince Syed Shahid tidak menjadikan perkara mungkar sebagai jalan untuk meraih populariti.
PENDAKWAH bebas, PU Syed menegur tindakan usahawan Prince Syed Shahid kerana berpenampilan menyerupai wanita di TikTok, selain mengingatkannya supaya tidak menjadikan perkara itu sebagai cara untuk meraih perhatian.PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak menegaskan perbuatan seperti memakai pakaian wanita, rambut palsu dan bersolek menyerupai kaum Hawa adalah dilarang dalam Islam. Menurutnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan tuntutan agama, malah dibimbangi menjadi ikutan orang lain sehingga mendorong kepada kemaksiatan."Larangan ini bukan dibuat oleh ustaz atau ulama, sebaliknya bersandarkan larangan Nabi Muhammad SAW."Terdapat hadis yang menyebut Rasulullah SAW melaknat perbuatan tasyabbuh, iaitu lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki," katanya [Tonton Video].Dalam pada itu, PU Syed turut mempersoalkan tindakan sesetengah individu yang sanggup melakukan perkara sedemikian semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan menjadi tular."Jika mahu menjadi tular, sebenarnya terdapat banyak cara lain yang boleh dilakukan. Lihat sahaja Khairul Aming. Adakah dia perlu menjadi perempuan atau melakukan perkara mungkar untuk menjadi terkenal? Tidak."Apa sahaja yang dilakukannya mendapat perhatian ramai. Ada individu yang boleh dijadikan contoh dan ikutan kerana menunjukkan teladan yang baik," katanya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan Prince Syed Shahid supaya menunjukkan keperibadian sebagai lelaki yang baik dan tidak melakukan perkara pelik hanya untuk meraih perhatian masyarakat.Malah, PU Syed turut mengingatkan usahawan itu supaya tidak mempengaruhi pengikutnya yang ramai sehingga mereka terdorong melakukan perkara sama."Jangan sampai mereka turut terikut-ikut dengan perbuatan tersebut. Adakah kamu suka jika kita mengheret orang lain ke neraka?"Setiap amalan jahat dan buruk akan mendapat dosa, manakala setiap dosa mempunyai balasannya. Saya bukan pemegang kunci syurga atau neraka, tetapi perkara itu disebut oleh Rasulullah SAW," katanya.Tambahnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej umat Islam, malah boleh menjejaskan maruah seseorang dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan anak.Dalam masa sama, beliau berharap pihak berkuasa agama dapat memberikan teguran sewajarnya agar perkara itu tidak berlarutan sehingga membawa kepada perbuatan yang lebih serius.