suria

Penerima bantuan program kerajaan tarik diri, malu rumah ditampal pelekat 'keluarga miskin'

Pelekat 'keluarga miskin' cetus krontroversi.

PENERIMA bantuan Program Keluarga Harapan (PKH) mula menarik diri selepas mendapati rumah mereka akan ditampal pelekat 'keluarga miskin'.

Ia susulan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) menampal pelekat berkenaan di beberapa buah rumah penerima manfaat tersebut.

Susulan itu, ramai penerima bantuan memilih untuk menarik diri kerana berasa malu dan terkilan dengan tindakan PBT yang disifatkan memalukan mereka.

Program tersebut dijalankan di daerah Kepahiang, Bengkulu, di Indonesia. 

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Sosial Kepahiang, Helmi Johan menjelaskan tindakan menampal pelekat itu bertujuan meningkatkan ketelusan dan memastikan bantuan disalurkan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.

"Pelekat ini tidak boleh dicabut, ditutup atau dihapuskan. Sekiranya penerima melakukannya, mereka dianggap secara automatik menarik diri daripada program bantuan," katanya.

Helmi berkata, pemantauan telah dilakukan bermula 20 Oktober lalu di beberapa rumah penerima manfaat di kawasan berkenaan.

Katanya, terdapat kediaman penerima bantuan yang dilihat dalam keadaan baik dan besar, malah memiliki kenderaan peribadi di garaj sekali gus menimbulkan persoalan tentang kelayakan sebenar mereka.

Tindakan menampal pelekat ‘Keluarga Miskin’ itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat.

Kebanyakannya menyokong usaha kerajaan untuk lebih telus, namun tidak kurang juga menganggapnya memalukan dan menjejaskan maruah penerima bantuan.

Untuk rekod, PKH merupakan program bantuan sosial bersyarat yang dilaksanakan kerajaan Indonesia bagi membantu keluarga penerima manfaat memenuhi keperluan asas seperti makanan, pendidikan, kesihatan dan tempat tinggal. -Agensi

Artikel Lain