suria

Tak mahu guna teleprompter, Aishah hafal semua lagu untuk konsert '40 Chapters of Love'

Aishah janjikan yang terbaik buat peminat.

MENJELANG konsert solo 'Aishah 40 Chapters of Love' yang bakal berlangsung pada 4 Julai depan, penyanyi Datuk Aishah kini giat melakukan pelbagai persiapan bagi memastikan persembahannya berjalan lancar.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 61, berkata dia kini lebih menitikberatkan soal penjagaan kesihatan selain mengikuti kelas vokal bagi memperbaiki teknik nyanyian.

“Sekarang saya lebih menjaga diri. Saya ambil kelas vokal walaupun usia sudah lebih 50 tahun. Dulu saya menyanyi tanpa ilmu yang betul, sekarang baru saya faham teknik sebenar,” katanya.

Aishah mahu berikan yang terbaik buat peminat.

Menurut Aishah, dia turut mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan dan melakukan senaman seperti zumba untuk memastikan stamina berada pada tahap terbaik.

“Saya juga jaga pemakanan dan bersenam seperti zumba. Dari segi latihan pula, saya berlatih sekitar tiga hingga empat jam sehari dan latihan akan menjadi lebih intensif apabila tarikh konsert semakin dekat,” ujarnya.

Lebih menarik lagi, penyanyi lagu Janji Manismu ini mengakui dia tidak gemar menggunakan teleprompter ketika membuat persembahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Janganlah kutuk Aishah! Perubahan vokal ikut usia perkara biasa - “Yang muda pun belum tentu boleh nyanyi lagu saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis tiket ‘ghaib’, Aishah syak konsert ‘40 Chapters of Love’ kena sabotaj

Sebaliknya, dia memilih untuk menghafal setiap lirik lagu agar dapat menghayati serta menyampaikan nyanyian dengan lebih baik kepada penonton.

“Saya tidak suka menggunakan teleprompter, jadi semua lagu perlu dihafal. Bagi saya, kalau tidak hafal lirik, saya tidak dapat menghayati dan menyampaikan lagu dengan baik.

“Kalau ada 30 lagu, maka 30 lagu itulah yang perlu saya hafal sepenuhnya,” kongsinya.

Aishah teruja mahu bertemu peminat yang menyokongnya.

Dalam pada itu, Aishah berkata konsert berkenaan mengangkat konsep penceritaan melalui muzik, setiap segmen konsert akan mewakili fasa berbeza dalam kehidupan dan kerjaya seninya.

"Penonton bakal disajikan dengan rangkaian lagu malar segar yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menjadi cerminan memori kolektif generasi peminat," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain